
Pelancongan berasaskan komuniti bantu rancakkan aktiviti ekonomi negeri Sabah
KOTA BELUD, 20 Julai — Perusahaan pelancongan berasaskan komuniti khususnya di kawasan luar bandar boleh membantu merancakkan semula aktiviti ekonomi dalam negeri, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick.
Sehubungan itu, katanya beliau akan terus membantu membangunkan kawasan pelancongan komuniti khususnya di Kadamaian.
“Industri pelancongan Sabah terjejas teruk berikutan penularan pandemik COVID-19 terutama apabila sempadan negara ditutup dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Kerajaan Negeri Sabah sangat prihatin dengan kesan pandemik COVID-19 ke atas sektor ekonomi dengan menyediakan dua pakej bantuan yang telah diumumkan Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM910 juta.”
Beliau berkata demikian dalam satu sesi perjumpaan dengan para pengusaha pelancongan berasaskan komuniti dan inap desa di kawasan Kadamaian bersama pegawai Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian itu berkata sejak fasa PKP Pemulihan dilaksanakan, aktiviti pelancongan dalam negeri telah dibenarkan.
“Rakyat Malaysia yang berada di Sabah boleh membantu merancakkan semula aktiviti ekonomi dalam negeri dengan menyokong perusahaan pelancongan berasaskan komuniti di luar bandar. Saya amat yakin banyak perusahaan seumpama ini menawarkan pakej yang menarik serta memuaskan,” katanya.
— BERNAMA