Peluang Barcelona bangkit tebus musim mengecewakan

Peluang Barcelona bangkit tebus musim mengecewakan

MADRID,. Barcelona berdepan Napoli pada aksi timbal balik kelompok 16 kempen Liga Juara-Juara awal pagi Ahad waktu Malaysia dengan harapan untuk menebus musim yang mengecewakan.

Tidak ramai yang meletakkan harapan ke atas mereka untuk mara ke suku akhir, dan jika lolos, Bayern Munich yang dianggap pasukan paling meyakinkan setakat ini, pasti menanti mereka selepas dijangka mudah mengatasi halangan Chelsea di peringkat 16 terakhir.

Dengan kelebihan jaringan di tempat lawan dalam keputusan seri 1-1 di Itali pada Februari, Barca sepatutnya tidak ada masalah untuk mengatasi Napoli yang menamatkan saingan Serie A di tangga ketujuh, apatah lagi di Camp Nou yang menyaksikan mereka hanya tewas sekali dalam 58 perlawanan Liga Juara-Juara.

Tetapi selepas musim La Liga yang menghampakan, di mana mereka mensia-siakan kelebihan dua mata ke atas Real Madrid dengan ketinggalan lima mata di akhir saingan, Barca dilihat sebagai bukan pasukan pilihan di pentas tertinggi Eropah kali ini.

“Peminat mula hilang sabar kerana kami tidak memberikan mereka apa-apa.

“Jika kami mahu berjuang untuk Liga Juara-Juara, banyak yang perlu diubah kerana jika terus begini, dengan Napoli pun kami akan tewas,” kata bintang Barca, Lionel Messi.

Masa depan pengendalinya, Quique Setien juga menjadi taruhan sekiranya Barca tersingkir di tangan Napoli atau dimalukan oleh Bayern pada peringkat seterusnya.

Bagaimanapun untuk kelab gergasi seperti Barca yang diterajui Messi, apa saja boleh terjadi dan cabaran mereka masih belum boleh diketepikan.

– AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )