Penduduk Melaka mahu kerajaan negeri tingkatkan penyelenggaraan sistem saliran

Penduduk Melaka mahu kerajaan negeri tingkatkan penyelenggaraan sistem saliran

MELAKA,. Penduduk di kawasan berisiko banjir di negeri ini meminta kerajaan negeri serta jabatan dan agensi berkaitan supaya terus menjalankan penyelenggaraan yang berkesan terhadap sistem saliran di negeri ini yang telah membantu mengelakkan banjir besar ketika hujan lebat berterusan baru-baru ini.

Pekebun sayur, Mohd Daud Umar, 68, dari Belimbing Dalam, Alor Gajah dekat sini berkata penduduk pada awalnya khuatir hujan berterusan kira-kira empat hari bermula Khamis lepas akan menyebabkan banjir besar di kawasan itu seperti sebelum ini, namun bersyukur bencana itu tidak berlaku setakat ini.

“Memang risau kerana setiap kali banjir saya rugi cecah ribuan ringgit kerana sayur ditanam mati. Kali ini saya lihat banjir besar tidak berlaku dan tiada yang dipindahkan di sini seperti sebelum ini, jika tidak memang beratus orang pindah kerana banjir setiap tahun di Belimbing Dalam ini.

“Air parit dan longkang melimpah itu ada, banjir-banjir kilat ada tetapi dalam tempoh sekejap sahaja dalam dua, tiga jam surut balik. Ini tunjukkan sistem saliran jalan amat baik dan penyelenggaraan nampak beri kesan bagus,” katanya kepada Bernama.

Kali terakhir Melaka dilanda banjir besar adalah sekitar awal Julai tahun ini apabila lebih 1,000 orang dipindahkan melibatkan kawasan sekitar Alor Gajah seperti Bukit Balai, Panchor dan Belimbang Dalam juga kawasan Melaka Tengah seperti Taman Merdeka, Batu Berendam dan Krubong.

Pada Ahad lepas 13 orang dari Bukit Balai dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga apabila kawasan rumah mereka dinaiki air, namun mereka dibenarkan pulang ke rumah pada keesokan harinya apabila banjir surut serta paras air di kawasan sungai serta parit kembali normal.

Bagaimanapun Jabatan Meterologi Malaysia meramalkan ribut petir pada sebelah petang sepanjang minggu ini dan ramalan cuaca ini merisaukan seorang guru Lee Yi Ying, 41, dari Krubong yang memohon langkah penyelenggaraan itu dipertingkatkan bagi menghadapi limpahan air dijangka berlaku.

Beliau berkata sememangnya usaha pihak terlibat melakukan persediaan untuk membantu mangsa banjir seperti penyediaan pusat pemindahan dan logistik mangsa berpindah amat dipuji, namun beliau berpendapat usaha utama perlu diletakkan ke atas penyelenggaraan sistem saliran.

“Setiap kali nak banjir kita lihat di media agensi terlibat lebih banyak usaha sediakan bot, kemudahan asas dan pusat pemindahan berbanding usaha bersihkan longkang, korek sungai dan selenggara rumah pam atau kunci air, pada saya itu (selenggara) paling penting kerana boleh elak banjir dan sebabkan rakyat jadi susah,” kata guru Pendidikan Seni dan Matematik itu.

Husna Aina Abd Said, 22, pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Rangkaian Komputer di Universiti Teknikal Malaysia, Melaka dari Sungai Putat di sini berkata penyelenggaraan sistem saliran perlu dilakukan secara kerap dan berkala bagi memastikan sistem itu mampu berfungsi dengan sempurna serta berkesan.

“Penyelenggaraan itu memang ada, tetapi kekerapan sama untuk semua sistem saliran kurang sesuai. Contohnya Sungai Putat kawasan persekitaran seperti rumput, pokok dan lumpur kawasan itu berbeza dengan sungai lain seperti Sungai Duyong, jadi kekerapan selenggara itu tidak boleh samakan semua sungai. Tengok persekitaran banyak rumput, pokok atau lumpur kekerapan selenggara kena lebih sesuai supaya tidak jejaskan saliran sungai,” katanya.

Seorang pekerja syarikat pembersihan S.Muniandy, 52, meluahkan kekecewaannya apabila masih terdapat mereka yang tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata sehingga menjejaskan keberkesanan sistem saliran terutamanya di kawasan bandar seperti Ayer Keroh dan Bandaraya Melaka.

Beliau yang berasal dari Gadek, Alor Gajah dekat sini berkata sudah menjadi rutin harian buatnya serta rakan sekerja terpaksa menyedut sampah sarap di dalam longkang bagi mengelak sistem saliran tersumbat dan menyebabkan banjir kilat di kawasan terlibat, yang menurutnya tidak sepatutnya berlaku sekiranya semua pihak mengamalkan sikap bertanggungjawab.

“Setiap kali banjir kilat ramai kata salah kerajaan tidak buat longkang bagus sana sini, tetapi masih ramai lagi buang sampah. Bila hujan sampah ini semua masuk dalam longkang jadi tersumbat. Ini macam kerajaan buat longkang taraf dunia 10 tingkat belanja juta-juta pun boleh banjir lagi kalau kita punya fikiran tidak ubah,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)