
Penduduk sambut ‘pesta ikan’ di Yala apabila air empangan dilepaskan
YALA,. Penduduk tempatann mulai membanjiri tebingan Sungai Pattani di Wilayah Yala untuk menyambut ‘pesta ikan’ apabila pihak berkuasa tempatan mengumumkan untuk melepaskan air di Empangan Bang Lang bagi mengekalkan paras air empangan yang selamat.
Pihak berkuasa tempatan telah memberi amaran bahawa pelepasan air dari Empangan Ban Lang di Bannang Sata, Yala akan menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar wilayah itu akan dinaiki air.
Namun begitu, bagi penduduk tempatan, pengumuman itu merupakan berita gembira apabila mereka berkumpul di tebingan Sungai Pattani untuk menangkap ikan yang akan membanjiri kawasan sungai tersebut.
Lengkap dengan jaket keselamatan, ada penduduk yang memanjat pokok atau menunggu di kawasan tinggi di tebingan sungai akan terjun ke sungai untuk menangkap ikan yang akan melalui kawasan sungai itu dengan menggunakan tangan sahaja.
Tinjauan Bernama mendapati arus yang deras tidak menghalang penduduk tempatan mencuba nasib untuk menangkap ikan bernilai tinggi seperti kelah dan patin.
Seorang penduduk tempatan memberitahu bahawa dia dan dua lagi rakannya berjaya menangkap empat ekor ikan hari ini.
“Ini adalah rezeki pada musim tengkujuh,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Pattani dalam satu kenyataan memberi amaran kepada penduduk tempatan agar membuat persediaan berikutan pelepasan air dari Empangan Bang Lang akan menyebabkan air sungai melimpah dan berlaku banjir.
“Banjir berkemungkinan berlaku di kawasan rendah esok,” katanya.
Pihak berkuasa tempatan itu menjelaskan paras air di Empangan Bang Lang yang melebihi paras bahaya akibat hujan lebat sejak Isnin lalu menyebabkan pihak berkuasa melepaskan air takungan untuk mengelak berlaku kerosakan pada struktur empangan.
— BERNAMA