Penggodam disokong China sasar infrastruktur kritikal AS

Penggodam disokong China sasar infrastruktur kritikal AS

WASHINGTON,. Agensi perisikan Barat pada Khamis mengeluarkan nasihat bersama mengenai penggodam siber yang dikatakan ditaja China kini menyasarkan infrastruktur kritikal Amerika Syarikat (AS) dan membantu pengguna mengenal pasti aktiviti itu pada peranti masing-masing, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Agensi di AS, Kanada, Australia, New Zealand dan Britain mengeluarkan nasihat bersama dan berkongsi butiran teknikal mengenai “kelompok aktiviti dikesan baru-baru ini dikaitkan dengan penggodam tajaan Republik Rakyat China (PRC) dikenali sebagai Volt Typhoon”.

“Rakan kongsi sektor swasta telah mengenal pasti bahawa aktiviti ini menjejaskan rangkaian merentas sektor infrastruktur kritikal AS dan agensi yang berkuasa percaya pelaku itu boleh menggunakan teknik yang sama terhadap sektor berkenaan dan sektor lain di seluruh dunia,” menurut nasihat itu.

Sementara itu, Microsoft dalam catatan blog pada Khamis berkata ia “mendedahkan aktiviti jahat tersembunyi yang disasarkan dan tertumpu pada akses kelayakan pasca kompromi dan penemuan sistem rangkaian dalam organisasi infrastruktur kritikal di Amerika Syarikat”.

Menurut Microsoft, Volt Typhoon “biasanya menumpukan pada pengintipan dan pengumpulan maklumat”.

“Microsoft menilai dengan keyakinan sederhana bahawa kempen Volt Typhoon ini kini menyasarkan pembangunan keupayaan yang boleh mengganggu infrastruktur komunikasi kritikal antara Amerika Syarikat dan rantau Asia dalam krisis masa depan,” menurut syarikat teknologi itu.

Microsoft berkata kumpulan itu yang aktif sejak pertengahan 2021, menyasarkan organisasi infrastruktur kritikal di wilayah AS Guam dan tempat lain di Amerika Syarikat dengan sasaran aktiviti “pengintipan dan mengekalkan akses tanpa dikesan selagi boleh”.

Syarikat itu berkata organisasi yang terjejas oleh kempen berniat jahat itu antara lain termasuk maritim, kerajaan dan teknologi maklumat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)