Penguatkuasaan Akta Kerja (Pindaan) 2022 ditangguh ke 1 Jan 2023

Penguatkuasaan Akta Kerja (Pindaan) 2022 ditangguh ke 1 Jan 2023

KUALA LUMPUR,. Penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 yang dijadualkan bermula pada 1 Sept ini ditangguhkan ke 1 Jan tahun depan.

Antara pindaan itu ialah pengurangan tempoh waktu bekerja daripada 48 jam ke 45 jam seminggu, penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari dan cuti paterniti dinaikkan daripada tiga hari kepada tujuh hari.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, berkata penangguhan itu telah diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini selepas pihak industri dan majikan sebulat suara memohon penangguhan atas beberapa faktor.

Beliau berkata libat urus bersama pemegang taruh yang berkaitan mendapati pemain industri khususnya majikan memerlukan sedikit masa sebelum pindaan itu dikuatkuasakan dengan mengambil kira isu kekurangan pekerja asing dan pemulihan syarikat pasca COVID-19.

“Selepas mendengar pandangan semua pihak, kerajaan membuat kesimpulan bahawa kami perlu memberi tempoh tiga bulan lagi untuk pemulihan ekonomi. Jika tidak, saya hanya bimbang jika industri terjejas, ramai akan kehilangan pekerjaan.

“Sudah tentu kementerian mengambil berat tentang kepentingan pekerja. Ini (penangguhan) untuk menjaga kepentingan mereka,” katanya pada sidang media khas, di sini, hari ini.

Saravanan berkata isu kekurangan pekerja asing timbul susulan negara menyekat kemasukan mereka sejak hampir tiga tahun lepas berikutan penularan COVID-19 yang menyebabkan masalah kekurangan tenaga kerja dalam industri.

Katanya, walaupun negara telah membenarkan semula pekerja asing untuk masuk ke Malaysia, proses untuk memenuhi keperluan industri akan mengambil masa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penangguhan itu adalah terakhir dan akan tetap dilaksanakan bermula 1 Jan depan tanpa mengira sebarang alasan oleh majikan.

Pindaan kepada Akta Kerja 1955 telah diluluskan di Palimen pada Mac lepas dan Saravanan sebelum ini dilaporkan berkata ia akan mula dikuat kuasakan pada 1 Sept ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)