Pengusaha pelancongan di Langkawi perlu kreatif tarik pelancong luar musim

Pengusaha pelancongan di Langkawi perlu kreatif tarik pelancong luar musim

LANGKAWI,. Pengusaha sektor pelancongan di Langkawi disaran agar lebih kreatif dalam mempromosi produk masing-masing bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan ke pulau itu walaupun di luar musim puncak.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata inisiatif seperti menawarkan pakej pelancongan pada kadar harga lebih rendah kepada pelancong tempatan boleh dibanyakkan, memandangkan sempadan negara masih ditutup akibat pandemik COVID-19.

“Sekarang ini mereka (pengusaha sektor pelancongan) gembira dengan kehadiran pelancong yang banyak ke Langkawi (kerana musim cuti sekolah), tapi mereka juga perlu fikir apa yang boleh dibuat untuk tarik orang datang pada luar musim,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama pengusaha hotel di sini, malam ini.

Sesi dialog bersama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) itu melibatkan 50 pengusaha hotel yang dijemput bagi membincangkan cabaran dalam memulihkan sektor pelancongan di Pulau Lagenda itu.

Beliau berkata bagi mengekalkan kelestarian Langkawi, beberapa cadangan untuk mempelbagaikan sektor ekonomi di pulau itu, misalnya projek akuakultur, perlu diperhalusi terlebih dahulu.

“Kita kena semak cadangan (akuakultur) itu boleh dilakukan atau tidak, jika ia tidak beri kesan atau kemudaratan kepada kelestarian Langkawi sebagai kawasan hijau, boleh dipertimbangkan, tapi mungkin bukan dalam skala yang besar, lebih kepada ekopelancongan, kalau nak bawa akuakultur ke Langkawi memang baik, tapi kena kaji dulu impaknya,” katanya.

Sementara itu semasa berucap pada sesi dialog berkenaan, beliau memberitahu Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) merekodkan sebanyak 3.14 juta ketibaan pelancong di Langkawi pada 2019, berbanding 1.6 juta pelancong sehingga November lepas (turun 54 peratus).

Katanya pendapatan sektor pelancongan pulau ini juga hanya RM900 juta sehingga Nov lepas, berbanding RM1.7 bilion pada 2019.

“Penurunan pendapatan sebanyak 80 peratus ini disebabkan oleh penutupan sempadan negara disebabkan oleh pandemik COVID-19,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)