PUTRAJAYA,. Pengusaha rumah sembelihan amat digalakkan untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi memperkukuh kawalan operasi, memudahk
PUTRAJAYA,. Pengusaha rumah sembelihan amat digalakkan untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi memperkukuh kawalan operasi, memudahkan kebolehkesanan bekalan dan meningkatkan keyakinan pelanggan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, pensijilan ini turut membantu restoran, pasar raya serta peniaga membuat pemilihan sumber bekalan berdasarkan pengesahan yang boleh disemak.
“Walaupun Pensijilan Halal Malaysia bersifat sukarela, manfaatnya amat besar kepada pengusaha rumah sembelihan dan masyarakat.
“Pensijilan ini membantu pengusaha memperkukuh kawalan halal sepanjang operasi, di samping memberikan keyakinan kepada pengguna terhadap sumber bekalan serta proses penyembelihan dan pengendalian produk yang dibeli,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan pemeriksaan beliau bersama-sama pasukan Pemantauan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sebuah rumah sembelihan pemegang SPHM di Petaling Jaya, Selangor, malam tadi.
Zulkifli berkata, pensijilan halal bukan sekadar paparan sijil atau logo kerana permohonan SPHM melibatkan penilaian dokumentasi dan pemeriksaan lapangan terhadap sumber bekalan, proses penyembelihan, pengendalian, kebersihan serta sistem kawalan halal dalaman.
“Selepas dipersijilkan, pemegang SPHM tertakluk kepada pemantauan dan tindakan pensijilan sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
“Perbezaan utama antara rumah sembelihan yang mempunyai SPHM dengan yang tidak dipersijilkan ialah pematuhan premis pemegang SPHM telah melalui proses penilaian dan pengesahan di bawah SPHM,” katanya.
Beliau berkata, ketiadaan SPHM tidak dengan sendirinya membuktikan sesuatu sembelihan tidak halal, namun premis itu belum memperoleh pengesahan pematuhan melalui sistem pensijilan berkenaan.
“Pemilikan lesen operasi pula tidak boleh disamakan dengan pensijilan halal. Masyarakat juga diseru supaya membezakan antara dakwaan yang tular dengan hasil siasatan yang disahkan,” katanya.
Zulkifli berkata, ketidakpatuhan di sesebuah premis tidak seharusnya dijadikan kesimpulan terhadap semua rumah sembelihan atau keseluruhan SPHM.
“Pengguna disaran mengutamakan bekalan daripada sumber yang dipersijilkan halal dan menyemak status pensijilan melalui Portal Halal Malaysia.
“Halal ialah amanah bersama. Pengusaha bertanggungjawab memelihara pematuhan, manakala pengguna berhak mendapat maklumat yang tepat dan bekalan yang diyakini,” katanya.
Beliau berkata JAKIM amat menggalakkan semua pengusaha rumah sembelihan agar memperoleh SPHM.
“Sehubungan dengan itu, aduan daripada orang awam akan diterima dan siasatan lanjut serta tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan oleh pihak JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri,” katanya.
— BERNAMA

