Perahu Kolek Kelantan tumpuan di KL Biennale 2020

Perahu Kolek Kelantan tumpuan di KL Biennale 2020

KOTA BHARU,. Balai Seni Negara akan mempamerkan Perahu Kolek Kelantan sempena Kuala Lumpur Biennale 2020 (KL Biennale 2020) yang akan berlangsung selama enam bulan bermula September tahun hadapan.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad berkata, Perahu Kolek berkenaan akan dipamerkan bagi memelihara seni tempatan itu yang dilihat semakin ditelan arus kemodenan.

“Seni tempatan ini dipilih kerana keunikannya iaitu bila dilihat badan perahu berkenaan sarat dengan ukiran serta berwarna-warni yang bermotifkan flora dan fauna,” katanya kepada Bernama selepas hadir Program Ramah Mesra Seni Bersama Rakan Strategik dan Penggiat Seni Zon Timur.

Amerrudin berkata, dalam usaha untuk menjayakan KL Biennale 2020 satu program sisipan ‘Route to KL Biennale 2020’ telah dilancarkan pada 3 Julai lalu secara berperingkat bersama komuniti setempat antaranya di Pulau Pinang, Langkawi, Sabah, Perak dan juga Kelantan.


“Untuk program komuniti setempat bagi Zon Pantai Timur kita telah memilih negeri ini iaitu di Kampung Pulau Gajah, Sabak sebagai pusat untuk menyatukan pelukis dan penggiat seni kira-kira 50 orang termasuk dari Terengganu dan juga Pahang bermula 19 Okt lepas selama dua minggu.

“Antara pengisian yang telah dilaksanakan ialah demonstrasi kesenian, pameran, aktiviti kebudayaan, lukisan mural dan juga interaktif seni bersama penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata pameran seni berskala besar yang bertemakan ‘Tanah Air dan Udara’ itu dilihat akan membuka peluang dan ruang kepada penggiat seni menembusi pasaran luar.

“Selain dapat menjadi tarikan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, pameran seni ini juga dapat mempromosikan Malaysia sebagai sebuah hab seni pelancongan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran kedua KL Biennale 2020 kali ini turut mendapat kerjasama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan juga beberapa agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“MAHB sebagai rakan kerjasama akan mempamerkan hasil seni sempena pameran ini di lima lapangan terbang antarabangsa iaitu di Kuching, Pulau Pinang, Langkawi dan dua daripadanya di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan lebih 350,000 pengunjung akan memenuhi ruang pameran seni di Balai Seni Negara dan juga beberapa lokasi lain di sekitar Kuala Lumpur selama ia berlangsung.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )