
Perak lulus peruntukan tambahan RM1.66 juta kepada Pematap
IPOH,. Kerajaan negeri Perak meluluskan peruntukan tambahan RM1.66 juta kepada maahad tahfiz swasta di bawah Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (Pematap).
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata peruntukan tambahan itu merangkumi RM568,800 bagi bantuan saraan untuk bulan Jun manakala RM560,000 bagi pengurusan pentadbiran, bayaran hutang dan bil termasuk gaji kakitangan.
Beliau berkata selain itu, RM159,000 diperuntukkan bagi mewujudkan pangkalan data dan sistem bersepadu maahad tahfiz, RM150,000 bagi penganjuran program oleh Pematap, RM125,800 untuk bantuan kos operasi Pematap dan RM100,000 pula bagi bantuan tabung modal koperasi Pematap.
“Saya berharap dengan bantuan tambahan daripada kerajaan negeri Perak, Pematap akan dapat berkembang dengan maju dan berusaha memperbaiki tahap pelajaran anak-anak tahfiz,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Pematap yang turut dihadiri Pengerusinya, Mohd Azlan Suhaimi di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Pada 20 Mei lepas ketika pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak (Fasa Dua) kerajaan negeri Perak mengumumkan peruntukan bantuan RM1.16 juta kepada 116 buah maahad tahfiz swasta di negeri ini bagi meringankan beban kewangan susulan penularan wabak COVID-19.
— BERNAMA