Peralatan komunikasi di kawasan mudah dinaiki air akan diubah suai

Peralatan komunikasi di kawasan mudah dinaiki air akan diubah suai

PASIR MAS,. Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dalam perancangan untuk mengubah suai beberapa kelengkapan peralatan dari pencawang telekomunikasi yang berada di kawasan mudah dinaiki air, supaya diletakkan di tempat yang lebih tinggi agar tidak ditenggelami banjir.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata beberapa langkah telah disusun, bagi memastikan tidak berlaku gangguan perhubungan komunikasi terutama ketika berlaku banjir.

“Pihak kementerian sudah menerima laporan secara berkala berkenaan maklumat pencawang yang mengalami kerosakan, yang mana arahan turut dikeluarkan supaya tindakan membaik pulih dilakukan dengan kadar segera.

“Kerajaan berusaha sedaya upaya dalam memastikan masalah komunikasi terutama di kawasan pedalaman diatasi segera, bagi memudahkan urusan masyarakat untuk mendapatkan rangkaian perhubungan komunikasi yang baik,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan sumbangan banjir kepada 150 penduduk Kampung Serongga dekat Repek, di sini hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Annuar yang juga merupakan salah seorang daripada Menteri Kuartet COVID-19, menyeru kepada semua rakyat di Kelantan khususnya golongan berisiko dan warga emas, supaya segera mendapatkan suntikan kedua vaksin COVID-19 dan dos penggalak bagi melindungi diri mereka daripada pandemik itu.

“Saya berharap ketua komuniti di setiap kawasan, dapat memainkan peranan memberi kesedaran kepada penduduk setempat supaya mereka terbuka hati menerima vaksin, selain peranan daripada beberapa syarikat telco seperti Maxis, Celcom dan Digi untuk menghantar mesej berhubung vaksinasi ini, kepada pelanggannya,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )