PERAYAAN DEEPAVALI CERMINKAN HUBUNGAN KEBUDAYAAN ERAT THAILAND-INDIA – ANUTIN

HomeFeaturedBerita Semasa

PERAYAAN DEEPAVALI CERMINKAN HUBUNGAN KEBUDAYAAN ERAT THAILAND-INDIA – ANUTIN

BANGKOK,. Thailand dan India berkongsi ikatan kebudayaan yang mendalam dengan warisan bersama kedua-dua negara menjadi asas kukuh bagi memperkukuh hub

FINAS RESTORASI 150 JAM KHAZANAH AUDIOVISUAL, HIDUPKAN SEJARAH VISUAL NEGARA
Pendaftaran Tahun Satu sesi 2027 dibuka mulai 15 Feb secara dalam talian
SEORANG MAUT, TIGA CEDERA DALAM INSIDEN TEMBAKAN DI UNIVERSITI AS

BANGKOK,. Thailand dan India berkongsi ikatan kebudayaan yang mendalam dengan warisan bersama kedua-dua negara menjadi asas kukuh bagi memperkukuh hubungan dua hala serta hubungan antara rakyat, kata Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul.

Anutin, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata tamadun India telah memberi pengaruh ketara kepada masyarakat Thailand, khususnya menerusi ajaran Buddha, epik Ramayana yang diadaptasi menjadi Ramakien di Thailand, serta Bahasa Thai yang mempunyai akar umbi daripada bahasa Sanskrit dan Pali.

“Hubungan kebudayaan yang dikongsi bersama ini mencerminkan keakraban antara rakyat kedua-dua negara dan menjadi asas kukuh untuk terus memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Kerajaan Diraja Thailand pada Ahad.

Anutin berkata demikian ketika merasmikan Festival Grand Diwali Amazing Thailand 2026 serta menyempurnakan upacara penyalaan lilin Deepavali di River Park, ICONSIAM di sini pada Ahad.

Beliau berkata perayaan berkenaan bukan sekadar sambutan kebudayaan India, malah menjadi wadah untuk mempromosikan pelancongan budaya, memupuk persefahaman bersama selain mengetengahkan Thailand sebagai destinasi yang mengalu-alukan kepelbagaian budaya dan agama.

Beliau turut menekankan sektor pelancongan sebagai jambatan penting yang menghubungkan rakyat Thailand dan India, sambil menyatakan bahawa India kekal sebagai antara pasaran pelancongan utama bagi Thailand.

Menurut Anutin, mesej perayaan itu iaitu kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, serta ilmu dan harapan yang membimbing masyarakat ke hadapan dengan membawa kepentingan sejagat.

Beliau berharap cahaya Deepavali akan membawa keamanan, kebahagiaan dan kemakmuran kepada rakyat kedua-dua negara.

Deepavali, atau turut dikenali sebagai Festival Cahaya, merupakan perayaan keagamaan utama bagi penganut Hindu dan turut disambut oleh penganut Sikh, Jain serta sebilangan penganut Buddha. Walaupun kisah asal usulnya berbeza mengikut kawasan, perayaan ini secara meluas melambangkan kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan.

Disambut mengikut kalendar bulan Hindu, Deepavali lazimnya jatuh pada Oktober atau November. Tahun ini, ia disambut pada 8 Nov.

— BERNAMA