
Perdana Menteri lancar Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya
KUALA LUMPUR, 17 JUN — Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah merasmikan Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang anjuran Universiti Malaya dengan kerjasama Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, di Dewan Tunku Canselor, hari ini.
Semasa ucapan pelancaran Perdana Menteri berkata, “Walaupun kita masih negara Common Law, namun prinsip-prinsip, doktrin, pemakaian dan pelaksanaan undang-undang telah dibuat berdasarkan semangat Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka.”
Tambah beliau, perkembangan ini merupakan sesuatu yang signifikan kerana jika dibandingkan dengan disiplin ilmu lain, ilmu undang-undang mempunyai ikatan yang sangat rapat dengan ‘fabrik sosial’.
Kita berterima kasih kepada pelopor-pelopor pendidikan undang-undang di zaman penubuhan fakulti seperti Profesor Ungku Abdul Aziz, Dato’ Rajasooria, Profesor Tan Sri Ahmad Ibrahim, Profesor Tan Sri Visu Sinnudurai, Dato’ Nik Abdul Rashid dan ramai lagi yang telah berusaha dan menyumbang kepada pendidikan undang-undang serta perkembangan perundangan di negara kita, kata Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri.
Dalam pada masa yang sama, Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Profesor Madya Dato’ Dr. Johan Shamsuddin Hj. Sabaruddin berkata, penganjuran perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang ini diadakan untuk mengeratkan lagi alumni Fakulti Undang-undang untuk terus dekat dengan fakulti, dan menyertai seberapa banyak program dirancang sepanjang tahun ini untuk menjadikan Ulang Tahun ke-50 ini sebagai tahun yang penuh kejayaan dan cemerlang serta untuk menjadi memori dan untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
“Genap 50 tahun penubuhan Fakulti dan Fakulti Undang-Undang telah berkembang daripada hanya pengambilan 50 pelajar pada tahun pertama kepada 160 pelajar sarjana muda setahun (pelajar dalaman), 450 pelajar pascasiswazah, di mana 110 daripadanya sedang melanjutkan pengajian PhD (dalaman dan jauh) dan lebih daripada 300 pelajar luar negara.
“Sepanjang 5 dekadnya, Fakulti telah berkembang daripada sebuah institusi pengajian kepada persekitaran profesional yang matlamatnya untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan dan profesion undang-undang.
“Mulai dari ijazah sarjana muda yang dianugerahkan pada tahun 1976, graduan Sarjana pertama dengan bangganya menerima skrol mereka pada tahun 1978, dan dua tahun kemudian, diikuti dengan penganugerahan PhD. Kumpulan perintis Fakulti Undang-undang ini adalah ‘peguam’ pertama yang menerima skrol mereka daripada Canselor ketika itu, Almarhum Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah Darul Aman Sultanah Hajah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman.
“Manakala individu-individu yang terlibat ketika upacara pecah tanah bangunan yang ada kini itu termasuk Profesor Emeritus Leong Wai Kum, dari Universiti Nasional Singapura dan lebih dekat dalam negara kami, kita mempunyai nama yang terkenal seperti Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Zarinah Anwar, juga kini Pengerusi Lembaga Pengarah wanita pertama Universiti Malaya, Tan Sri Alizatul Khair dan Tun Mohd Raus Shariff, bekas Ketua Hakim Tanah Melayu.
“Nama-nama ini bukanlah satu-satunya bintang yang bersinar dari Fakulti Undang-Undang. Fakulti pada masa ini, sedang menghasilkan pelbagai personaliti tersohor yang telah merentasi alam kecemerlangan Fakulti sejak penubuhannya,” beliau berkata.
Majlis pelancaran ini juga dihadiri oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Sri Azalina Othman Said, Penasihat Khas Kepada Perdana Menteri, Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Tan Sri Zarinah Anwar, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya, Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Shafee Md Abdullah, Timbalan Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya dan Naib Canselor Universiti Malaya, YBhg. Profesor Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor.
Dato’ Johan juga berkata, tokoh-tokoh terkemuka masa kini tidak lain tidak bukan ialah Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Azhar Azizan Harun, Yang Dipertua Dewan Rakyat Ke-10, tidak lupa juga beberapa orang Hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang merupakan alumni Fakulti.
Personaliti lain termasuk bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Dato’ Badariah Sahamid, Datuk Khaw Lake Tee (bekas Dekan Fakulti Undang-Undang dan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya), Dato Nik Ramlah Nik Mahmood (bekas Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti), Tan Sri Abdul Gani Patail (bekas Peguam Negara Malaysia), Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff bin Md Yusof, (bekas speaker Dewan Rakyat), Dato’ Azalina Othman (bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat) dan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (bekas Menteri Wanita, Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat).
“Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya telah mengecapi pelbagai pencapaian sepanjang 50 tahun ini dan kami berbangga dengan pencapaian ini. Tetapi ini bukanlah isyarat bahawa kita boleh berehat dengan kejayaan kita.
“Kita perlu maju ke hadapan dengan penuh semangat untuk meneruskan perjalanan dan mendaki sempadan yang belum diketahui untuk terus menghasilkan graduan yang cemerlang dan juga untuk memastikan peranan kita dalam pertumbuhan pendidikan undang-undang di Malaysia.
Turut hadir ke majlis tersebut juga adalah alumni-alumni Fakulti Undang-Undang yang terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Hakim -Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim – Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Timbalan Pendakwa Raya, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Kehakiman dan Pegawai Undang-Undang.
Maklumat berkenaan majlis ulang tahun ke-50 boleh didapati melalui :
Laman web : https://law.um.edu.my/
Facebook : https://www.facebook.com/FacultyofLawUniversityofMalaya
Foto Kredit – Komunikasi Korporat UM
— RP