
Perjuangan memartabatkan ‘Mek Mulung’ tidak akan terhenti
ALOR SETAR,. Perjuangan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah memartabatkan persembahan ‘Mek Mulung” tidak akan terhenti, walaupun ia dilihat semakin tenggelam dalam evolusi kesenian moden.
Pengarah JKKN negeri, Mohd Rizal Ismail berkata persembahan kebudayaan itu satu ketika dahulu cukup terkenal di negeri ‘Jelapang Padi’ dan ia sebenarnya masih relevan sehingga kini walaupun telah muncul pelbagai persembahan teater moden.
“JKKN Kedah sentiasa memastikan agar Mek Mulung yang menampilkan tarian, nyanyian, lakonan dengan selingan komedi itu sentiasa dipersembahkan dan sering diselit dalam program-program yang dirancang dalam kalendar tahunan jabatan ini,” katanya kepada Bernama, sambil menambah watak utama persembahan itu biasanya terdiri daripada putera raja, puteri dan peran (pelawak).
Menurutnya persembahan Mek Mulung yang wujud lebih 400 tahun dahulu itu biasanya diiringi dengan peralatan muzik tradisional seperti gendang, serunai, gong serta ‘kecerek’ yang diperbuat daripada kepingan buluh dan ia mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang menyaksikannya.
“Mek mulung pada awalnya tidak begitu dikenali, bahkan dalam kalangan anak muda Kedah sendiri pun, namun ia diperkenalkan semula JKKN Kedah menerusi projek perintis untuk menghidupkan semula warisan teater tradisional itu,” katanya.
Mohd Rizal berkata pihaknya juga pernah bekerjasama dengan Pusat Budaya dan Seni Universiti Utara Malaysia serta Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Kedah dalam pementasan Mek Mulung.
“Mek Mulung juga pernah dipentaskan di hadapan delegasi dari negara luar yang berkunjung ke Kedah. Ia adalah sebahagian daripada inisiatif untuk memperkenalkan persembahan kebudayaan seperti Mek Mulung sebagai produk pelancongan warisan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata walaupun pewaris Mek Mulung dan salah seorang generasi terakhir penggiat seni berkenaan, Ahmad Shahadan, sudah tiada, JKKN Kedah akan terus berusaha untuk menghidupkan persembahan kebudayaan itu.
Katanya tokoh yang berasal dari Kampung Wang Tepus, Jitra, meninggal dunia pada 29 April lepas pada usia 56 tahun akibat penyakit lelah.
“Kehilangan ini sangat dirasai oleh seluruh warga JKKN Kedah, yang telah sekian lama berjuang bersama Allahyarham bagi mengangkat kesenian tradisional Mek Mulung ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
— BERNAMA