
Perkeso akan perluas program Mini Karnival Pekerjaan OKU
KUALA LUMPUR,. Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merancang memperluas program Mini Karnival Pekerjaan Orang Kurang Upaya (OKU) ke negeri-negeri lain termasuk kawasan pedalaman bagi memberi peluang kepada golongan itu mendapatkan pekerjaan.
Perkeso dalam kenyataan hari ini memaklumkan program di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) itu bertujuan membantu OKU yang berstatus pencari kerja, membuat persiapan ke alam pekerjaan serta menghadiri sesi temu duga terbuka.
“Antara lokasi lain penganjuran karnival akan datang ialah Pulau Pinang, Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan Perkeso melalui Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) telah menganjurkan karnival sehari itu di Wisma Perkeso, Kuala Lumpur, hari ini yang menyaksikan sebanyak 1,310 peluang pekerjaan ditawarkan kepada OKU yang disertai sembilan majikan dan 154 OKU.
Pelbagai aktiviti diadakan termasuk taklimat kebolehpasaran pekerjaan, kaunseling kerjaya, kaunter MYFutureJobs dan sesi temu duga.
— BERNAMA