PERKESO; Hasil semakan Skuad Prihatin empat peserta RXZ Member 8.0 Layak terima faedah

HomeFeaturedBerita Semasa

PERKESO; Hasil semakan Skuad Prihatin empat peserta RXZ Member 8.0 Layak terima faedah

KUALA LUMPUR,. Waris kepada empat peserta RXZ Member 8.0 yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dalam empat kejadian berasingan pada 31 Jul

KPM ambil tindakan segera terhadap pegawai terlibat aktiviti songsang
ONSA Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 berkuat kuasa mulai 1 Jun
Malaysia terus sokong usaha perkukuh komuniti ASEAN

KUALA LUMPUR,. Waris kepada empat peserta RXZ Member 8.0 yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dalam empat kejadian berasingan pada 31 Julai dan 1 Ogos layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

PERKESO dalam satu kenyataan memaklumkan hasil semakan Skuad PERKESO Prihatin mendapati kesemua mangsa yang terlibat, berusia antara 20 hingga 47 tahun, merupakan pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Menurut kenyataan itu, kes pertama melibatkan Mohd Fauzi Othman, 44, yang disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 184.9 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menghala ke Terengganu pada 31 Julai.

PERKESO berkata, balu dan lima anak beliau layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan.

Waris akan menerima FPM sebanyak RM3,000 secara sekali bayar bagi menampung kos pengurusan jenazah, manakala balunya akan menerima Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,794.58 sebulan mengikut syer masing-masing untuk sepanjang hayat. Anak-anak pula layak menerima faedah tersebut sehingga berusia 21 tahun atau sehingga tamat pengajian peringkat ijazah pertama.

Bagi kes melibatkan Zulkanain Mat Said, 39, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Gambang pada 31 Julai, balu dan tiga anaknya turut dilindungi di bawah akta sama.

PERKESO memaklumkan waris layak menerima FPM sebanyak RM3,000 serta Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,840.13 sebulan mengikut syer masing-masing. Balu beliau akan menerima pencen tersebut sepanjang hayat, manakala anak-anak layak menerimanya sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian peringkat ijazah pertama.

Sementara itu, waris kepada Muhammad Shahrul Mohd Sabri, 20, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 258.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menghala ke Terengganu pada 1 Ogos layak menerima beberapa faedah di bawah Skim LINDUNG 24 Jam.

PERKESO berkata, waris beliau layak menerima FPM sebanyak RM3,000 secara sekali bayar serta Faedah Orang Tanggungan (FOT).

Memandangkan beliau belum berkahwin, FOT berjumlah RM1,115.10 sebulan akan disalurkan mengikut syer masing-masing kepada ibu dan bapanya untuk sepanjang hayat, manakala tiga adiknya layak menerima faedah itu sehingga berusia 21 tahun.

PERKESO menganggarkan jumlah keseluruhan pembayaran FOT kepada waris bagi tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun akan datang melebihi RM260,000.

Dalam satu lagi kes, Durulmaizi Salamon, 47, yang mengalami kecederaan pada bahu dan kaki kanan akibat kemalangan di Kilometer 294 LPT2, Kemaman pada 31 Julai disahkan sebagai pencarum aktif LINDUNG 24 Jam.

PERKESO berkata, beliau layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), yang akan dimuktamadkan mengikut tempoh cuti sakit, serta Bayaran Ganti Belanja bagi membiayai kos perubatan ketika menerima rawatan di hospital.

Bagaimanapun, suami beliau yang meninggal dunia dalam kemalangan sama tidak layak menerima faedah daripada PERKESO kerana bukan pencarum. Kes berkenaan telah dirujuk kepada agensi lain menerusi inisiatif Social Synergy.

PERKESO turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga yang terlibat serta menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan perlindungan diri terjamin di luar waktu bekerja menerusi LINDUNG 24 Jam.

Menurut PERKESO, caruman tersebut bukan sekadar untuk perlindungan diri, malah merupakan tanggungjawab dalam melindungi masa depan anak-anak dan waris yang ditinggalkan.

— GERBANGPOST