BATU KAWAN,. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyasarkan sekurang-kurangnya 8,000 pencarum di seluruh negara menerima MYRiderID menjelang akhi
BATU KAWAN,. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyasarkan sekurang-kurangnya 8,000 pencarum di seluruh negara menerima MYRiderID menjelang akhir tahun ini sebagai usaha memperkukuh aspek keselamatan dan bantuan kecemasan kepada penunggang motosikal.
Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan PERKESO Dr Azlan Darus berkata MYRiderID merupakan inisiatif berbentuk kod QR yang membolehkan maklumat penting mengenai seseorang penunggang dikenal pasti dengan pantas sekiranya berlaku kemalangan, sekali gus membantu melancarkan proses pemberian rawatan kecemasan.
“Inisiatif ini diperkenalkan sebagai sebahagian daripada konsep Kempen Penunggang Malaysia (MYRider) yang bukan sahaja memberi penekanan kepada pencegahan kemalangan, malah turut mengambil kira tindakan sewaktu dan selepas kemalangan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan MYRiderID pada perlumbaan Cub Prix Malaysia di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan di sini hari ini.
Terdahulu, sebanyak 1,000 pencarum menerima pelekat MYRiderID tersebut.
Azlan berkata kod QR itu boleh diimbas sekiranya berlaku kemalangan bagi membolehkan maklumat berkaitan mangsa diketahui dengan segera dan antara maklumat yang boleh dimasukkan oleh penunggang ialah nama individu untuk dihubungi ketika kecemasan selain jenis darah dan sejarah perubatan yang penting untuk diketahui petugas perubatan.
Beliau berkata sasaran pengagihan 8,000 pelekat MYRiderID kepada pencarum PERKESO akan dilaksanakan di seluruh negara menerusi beberapa program termasuk perlumbaan Cub Prix dan kempen keselamatan jalan raya bersama majikan.
“PERKESO juga mengenal pasti kira-kira 7,000 majikan di seluruh Malaysia untuk bersama-sama mempromosikan mesej keselamatan jalan raya ‘Be safe on the road’ kepada pekerja khususnya penunggang motosikal,” katanya.
Beliau berkata pada majlis tersebut, PERKESO turut mengadakan pertukaran Memorandum Kolaborasi (MoC) bersama Boon Siew Honda Sdn Bhd dan MForce Bike Holdings Sdn Bhd bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam mempromosikan keselamatan motosikal.
Katanya, kolaborasi itu memberi tumpuan kepada program advokasi, pendidikan dan pembudayaan keselamatan jalan raya yang menyokong aspirasi melahirkan penunggang Malaysia yang selamat, berhemah dan bermaruah.
Boon Siew Honda diwakili Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Kunitomo Asano manakala MForce Bike Holdings diwakili Ketua Pegawai Operasinya Asri Ahmad.
— BERNAMA

