KUALA LUMPUR,. Empat daripada mangsa kemalangan jalan raya di Jalan Karak Lama, Bentong pada Sabtu lalu layak menerima faedah di bawah Skim LINDUNG 24
KUALA LUMPUR,. Empat daripada mangsa kemalangan jalan raya di Jalan Karak Lama, Bentong pada Sabtu lalu layak menerima faedah di bawah Skim LINDUNG 24 Jam serta Skim Keilatan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam kenyataan memaklumkan semakan rekod mendapati empat mangsa tersebut merupakan pencarum aktif.
Mangsa yang layak ialah Mugilan a/l Vraputiran, Kanabati Raja a/l Arunasalam, Alaganathan a/l Krishnan dan Parathanman a/l Marutayah yang berusia antara 16 hingga 25 tahun.
Menurut PERKESO, waris setiap mangsa akan menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 secara sekali bayar.
Selain itu, waris Mugilan layak menerima Faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan berjumlah RM562.50 sebulan mengikut syer masing-masing, dengan isterinya menerima bayaran sepanjang hayat manakala anaknya yang kini berusia dua tahun akan menerima faedah sehingga berusia 21 tahun atau menamatkan pengajian ijazah pertama.
Bagi Alaganathan pula, keluarganya layak menerima Faedah Pencen Penakat sebanyak RM564.36 sebulan, yang akan dibayar kepada ibu bapanya sepanjang hayat, manakala adik-beradiknya akan menerima manfaat itu sehingga berumur 21 tahun.
Sementara itu, waris Kanabati Raja dan Parathanman layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) di bawah Skim LINDUNG 24 Jam. Ibu bapa Kanabati Raja akan menerima faedah sepanjang hayat, manakala adik-beradik yang layak akan menerima bayaran bulanan berjumlah RM1,647 sehingga berusia 21 tahun. Waris Parathanman pula akan menerima FOT bulanan sebanyak RM891.
PERKESO berkata, bagi tempoh sekurang-kurangnya 30 tahun akan datang, jumlah keseluruhan FOT yang akan disalurkan kepada waris kedua-dua mangsa itu dianggarkan melebihi RM900,000.
Menurutnya, keputusan mereka memilih perlindungan di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau LINDUNG 24 Jam telah membantu mengurangkan beban kewangan keluarga selepas tragedi berkenaan. Semua faedah tersebut akan dibayar secara bulanan bagi menjamin kelangsungan hidup waris.
Bagaimanapun, semakan turut mendapati tiga lagi mangsa tidak mempunyai rekod caruman aktif, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang rekod caruman. Justeru, mereka tidak layak menerima faedah PERKESO mengikut syarat di bawah Akta 4.
PERKESO berkata, kemalangan jalan raya boleh berlaku pada bila-bila masa sama ada ketika atau di luar waktu bekerja, sekali gus menyebabkan ada keluarga kehilangan tempat bergantung dan sumber pendapatan.
Sehubungan itu, Skim LINDUNG 24 Jam diwujudkan bagi memastikan pencarum dan waris mereka terus mendapat perlindungan sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu bekerja.
Menurut PERKESO, walaupun perlindungan keselamatan sosial tidak mampu menghilangkan kesedihan akibat kehilangan insan tersayang, ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung keluarga.
Sehubungan itu, majikan dan pekerja diingatkan supaya sentiasa memastikan caruman keselamatan sosial dikemas kini agar hak perlindungan dapat dinikmati apabila diperlukan.
–GERBANGPOST

