ALOR GAJAH,. Seramai 150 peserta terdiri daripada pelajar universiti dan institusi TVET menyertai program Jelajah AI MyMahir (JAM) TalentCorp di Fakul
ALOR GAJAH,. Seramai 150 peserta terdiri daripada pelajar universiti dan institusi TVET menyertai program Jelajah AI MyMahir (JAM) TalentCorp di Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Sabtu lalu.
Edisi ke-13 JAM TalentCorp yang dikenali juga sebagai Edisi Hang Tuah Jaya itu memberi pendedahan kepada asas AI, aplikasi praktikal, laluan kerjaya serta jangkaan industri.
Inisiatif ini menyokong agenda Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk memperluas akses kepada kemahiran AI dan digital, di samping membangunkan tenaga kerja yang berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli, pelajar memerlukan lebih daripada pengetahuan teori mengenai AI dan perlu diberikan peluang untuk memahami bagaimana teknologi tersebut diaplikasikan dalam persekitaran industri sebenar.
“Pelajar universiti dan TVET mesti diberikan peluang untuk memahami bagaimana AI diaplikasikan dalam industri dan bukan sekadar mempelajarinya sebagai satu konsep teori. Pendedahan ini perlu disokong oleh ekosistem pembelajaran yang kukuh serta latihan industri yang tersusun supaya pelajar dapat menguji kemahiran mereka, memperoleh pengalaman praktikal dan lebih memahami jangkaan majikan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
“Ini mencerminkan pendekatan Kerajaan MADANI dalam memastikan pendidikan, pembangunan kemahiran dan keperluan industri bergerak seiring bagi mewujudkan laluan yang lebih kukuh untuk generasi muda,” katanya pada perasmian program berkenaan.
Program tersebut menampilkan modul Asas AI, AI di Hujung Jari Anda, perspektif industri mengenai penggunaan AI dalam perniagaan serta pembangunan laluan kerjaya.
Peserta turut menerima latihan praktikal dalam enam bidang tumpuan utama iaitu AI autonomi, keselamatan siber, AI untuk pengekodan, kreativiti, pembelajaran pintar dan asas robotik.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan TalentCorp, Siva Kumeren A. Narayanan berkata, usaha membangunkan bakat masa depan memerlukan kerjasama yang lebih erat antara institusi pendidikan dan majikan bagi memastikan pelajar memperoleh pengalaman di tempat kerja yang relevan sebelum memasuki alam pekerjaan.
Beliau berkata, latihan industri yang berkesan perlu menghubungkan pembelajaran di bilik darjah dengan aplikasi praktikal di tempat kerja, manakala program seperti Jelajah AI MyMahir membantu pelajar membangunkan kemahiran yang relevan dengan industri serta memahami peluang kerjaya yang semakin berkembang dalam bidang AI dan teknologi.
TalentCorp berkata, pihaknya terus bekerjasama dengan kerajaan, institusi pendidikan dan rakan industri bagi memperkukuh ekosistem latihan industri, sekali gus membolehkan pelajar memperoleh kompetensi praktikal dan beralih ke alam pekerjaan dengan lebih lancar.
Inisiatif itu turut menyokong aspirasi KESUMA di bawah kepimpinan Menteri Sumber Manusia Dato Sri Ramanan Ramakrishnan untuk membina saluran bakat negara yang lebih kukuh serta mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi yang pesat.
–GERBANGPOST

