Petronas carigali, MTJA lanjutkan tempoh pembangunan dan kontrak perkongsian pengeluaran

Petronas carigali, MTJA lanjutkan tempoh pembangunan dan kontrak perkongsian pengeluaran

KUALA LUMPUR,. Anak syarikat Petronas Carigali Sdn Bhd, PC JDA Ltd, telah menerima kelulusan daripada kerajaan Malaysia dan Thailand untuk menambah kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) Blok B-17 dan C-19 serta Blok B-17-02 ke dalam PSC Blok B-17-01.

Di bawah syarat penambahan itu, kontrak perkongsian tersebut akan mempunyai lanjutan tempoh pengeluaran selama 10 tahun sehingga 2039.

PC JDA Ltd dan Pihak Berkuasa Bersama Malaysia-Thailand (MTJA) amat komited bagi meningkatkan jumlah pembekalan gas di bawah perjanjian pindaan penjualan gas, yang mengawal penjualan dan penghantarannya dari kawasan PSC ke Semenanjung Malaysia dan Thailand.

PC JDA Ltd kini bekerjasama dengan PTTEP International Ltd, iaitu anak syarikat milik penuh PTT Exploration and Production Public Co Ltd (PTTEP) yang berpangkalan di Thailand untuk membangun dan mengekstrak sumber dari kawasan PSC.

“Penambahan dalam PSC merupakan peristiwa yang bermakna kerana bekalan gas tambahan adalah penting untuk keselamatan tenaga dan kemakmuran ekonomi kedua-dua negara. Ia juga mengukuhkan lagi kehadiran kami di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA) yang merupakan pembekal gas asli utama bagi kedua-dua negara,” kata Pengarah PC JDA Ltd, Nurunnajwa Mohd Aras dalam satu kenyataan.

Kawasan PSC terletak dalam MTJDA, yang merupakan kawasan bertindih luar pesisir Malaysia-Thailand seluas kira-kira 7,250 kilometer persegi di bawah pentadbiran MTJA.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )