Piala Asia B-23: Kesilapan individu hukum Harimau Muda berdepan Uzbekistan

Piala Asia B-23: Kesilapan individu hukum Harimau Muda berdepan Uzbekistan

KUALA LUMPUR,. Malaysia gagal meraih keputusan yang diharapkan selepas tewas 0-2 kepada pasukan pilihan Uzbekistan pada perlawanan pembukaan Kumpulan D saingan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2024 di Doha, Qatar malam tadi.

Pada pertembungan di Stadium Antarabangsa Khalifa itu, skuad Harimau Muda bimbingan Juan Torres Garrido ketinggalan di awal permainan berpunca kesilapan pemain pertahanan Muhamad Syahir Bashah yang menjatuhkan Ruslanbek Jiyanov dalam kotak penalti.

Pengadil Ahmed Faisal Al Ali dari Jordan tidak teragak-agak meniupkan wisel dan melayangkan kad kuning pada Muhamad Syahir sebelum ketua pasukan Uzbekistan Jasurbek Jaloliddinov tenang menyempurnakan penalti pada minit ke-11 untuk meletakkan juara edisi 2018 itu depan.

Naib juara edisi 2022 kendalian Timur Kapadze itu nyaris menggandakan jaringan di penghujung separuh masa pertama apabila tandukan dari jarak dekat Alibek Davronov tinggi melewati palang pada masa tambahan tatkala penjaga gol negara Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin tergamam.

Malaysia dibarisi dua pemain tengah yang sering menyarung jersi skuad senior iaitu Muhammad Mukhairi Ajmal dan Nooa Laine menamatkan aksi babak pertama dengan gagal mencipta sebarang percubaan tepat ke gawang lawan, selain meraih 44 peratus penguasaan bola.

Bersambung babak kedua, sedikit pertukaran dilakukan Garrido menunjukkan perubahan positif, namun pasukan lawan lebih mendominasi permainan dengan beberapa percubaan berbahaya yang gagal disudahkan dengan baik.

Memasuki 10 minit terakhir permainan, kesilapan mudah sekali lagi menghukum Malaysia selepas hantaran pemain gantian Muhammad Abu Khalil dipintas Husain Norchaev yang melorongkan bola kepada pemain gantian Ulug’bek Khoshimov untuk meledak gol kedua Uzbekistan pada minit ke-83.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia perlu bangkit mengutip mata ketika membuat perhitungan dengan Vietnam di venue sama pada Sabtu ini sebelum bertemu Kuwait pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Al Janoub di Al Wakrah pada Selasa depan.

Malaysia yang pernah mara sehingga ke peringkat suku akhir pada edisi 2018, menyasarkan untuk menyamai pencapaian itu pada kempen kali ini

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir dan berpeluang meneruskan cabaran merebut tiga slot automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 manakala pasukan keempat terbaik kejohanan akan bermain perlawanan play-off bertemu Guinea di Paris, Mei ini.

Sementara itu, Garrido kecewa dengan kekalahan tetapi masih berharap anak buahnya dapat meningkatkan prestasi sebelum dua perlawanan seterusnya.

Beliau menekankan kepentingan mengurangkan kesilapan dalam kawasan gawang gol yang boleh mengundang penalti, terutamanya selepas pasukan itu menghadiahkan penalti kepada lawan dalam dua perlawanan pemanas badan sebelum ini.

“Secara ringkasnya persiapan kami meningkat…jadi pastinya permainan ini akan membantu tahap prestasi…mungkin kita perlu lebih berusaha untuk melakukan serangan. Hari ini kami berdepan lawan yang bagus, dalam perlawanan akan datang, kami mesti memperbaiki cara untuk menembusi kawasan lawan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan tersebut.

Garrido turut menafikan isu kecergasan sebagai masalah utama pasukan dan pemainnya terlalu menghormati pasukan lawan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)