PKP Fasa 3: MSOSH gesa majikan patuhi SOP beroperasi, elak jangkitan COVID-19

PKP Fasa 3: MSOSH gesa majikan patuhi SOP beroperasi, elak jangkitan COVID-19

KUALA LUMPUR,. Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) menggesa semua majikan dan syarikat khususnya sektor yang dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan kerajaan.

Persidennya Khairuddin Hairan menegaskan, penting semua syarikat terlibat meneliti secara serius semua 47 SOP yang ditetapkan agar syarikat dapat beroperasi dalam situasi selamat dan terkawal tanpa ada risiko serta kemungkinan dijangkiti COVID-19.

“MSOSH amat gusar dan risau mengenai sikap sesetengah majikan yang akan culas dan mengambil sikap sambil lewa mengenai SOP itu setelah mendapat kelulusan operasi.

“Justeru, MSOSH menyeru majikan melihat dan meletakkan keutamaan mengadakan orang kompeten serta penubuhan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan di setiap syarikat seperti yang termaktub di dalam SOP itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Jumaat, kerajaan mengumumkan beberapa sektor tambahan seperti industri aeroangkasa dan perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang terhad kepada guaman, minyak dan gas, dibenarkan beroperasi bagi tempoh PKP fasa ketiga bermula esok sehingga 28 April ini.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum ini menyebut antara SOP yang perlu dipatuhi adalah syarikat hendaklah mengurangkan bilangan pekerja tidak melebihi 70 peratus daripada jumlah semasa, menyediakan alat pelindung diri yang sesuai kepada pekerja yang bekerja dan mematuhi waktu operasi bermula 8 pagi hingga 8 malam atau syif mengikut pusingan bekerja yang dibenarkan.

Khairuddin turut menggesa majikan memastikan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan di setiap syarikat memainkan peranan lebih efektif dalam melaksanakan SOP itu dan bukan hanya sekadar memikirkan mengenai kelangsungan ekonomi syarikat.

“Kegagalan pelaksanaan SOP semasa PKP fasa ketiga boleh menyebabkan rantaian jangkitan COVID-19 lebih parah dan teruk dengan wujudnya kluster baharu, sekali gus meranapkan impian kerajaan untuk memulihkan negara,” katanya.

Beliau berkata Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah mengklasifikasikan COVID-19 antara penyakit pekerjaan.

Sehubungan itu katanya, majikan wajib membuat laporan jika berlaku kejadian yang memungkinkan jangkitan wabak itu ditempat kerja.

“Kegagalan majikan mematuhi SOP itu, boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan Pelaporan Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan dan Penyakit Pekerjaan (NADOPOD) 2004, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This