PKPP: 90 peratus sektor pelancongan di Kedah dibuka

PKPP: 90 peratus sektor pelancongan di Kedah dibuka

ALOR SETAR,. Sehingga kini sekitar 90 peratus daripada sektor pelancongan di Kedah, termasuk di Langkawi, telah dibenarkan untuk beroperasi semula walaupun masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan serta Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata ia semestinya melegakan semua pihak terutamanya pemain utama industri pelancongan di negeri ini dan pelancong yang mahu melancong ke Kedah.

“Di Langkawi, tempat penginapan boleh beroperasi dengan kapasiti penuh, namun SOP dan garis panduan yang ditetapkan perlu dipatuhi. Fasiliti seperti gimnasium, surau, dan bilik mesyuarat boleh digunakan kecuali kolam renang yang masih belum dibenarkan,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Menurutnya antara aktiviti lain yang turut dibenarkan di Langkawi adalah mandi pantai, aktiviti sukan air, taman hidupan liar, zoo, taman buaya, Langkawi Skybridge Cable Car serta Underwater World Langkawi, namun beberapa komponen yang masih belum dibenarkan termasuk kapal persiaran, pusat refleksologi, pusat hiburan dan aktiviti sukan air yang menyebabkan berlaku sentuhan.

“Walaupun peningkatan dalam industri pelancongan di Kedah dijangka perlahan, kita masih yakin dengan kerjasama dan pelbagai tawaran istimewa yang ditawarkan dapat menarik pelancong untuk datang melancong ke negeri ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This