PKPP: Melaka lulus 100 lokasi tapak baharu pasar, bazaria – Ketua Menteri

PKPP: Melaka lulus 100 lokasi tapak baharu pasar, bazaria – Ketua Menteri

MELAKA,. Kerajaan Negeri Melaka hari ini meluluskan 100 lokasi tapak baharu bagi pembukaan pasar pagi, pasar terbuka, pasar malam, dan bazaria, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berkata, daripada jumlah itu 21 lokasi pasar malam dikenal pasti pihak berkuasa tempatan (PBT), akan beroperasi secara berperingkat bermula esok mengikut prosedur operasi standard (SOP), yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

“Lokasi tambahan bagi pasar malam lain akan diselaraskan setiap PBT, berdasarkan kesesuaian SOP yang dikeluarkan untuk dipatuhi pihak penganjur dan perlu berdaftar dengan PBT, serta mematuhi syarat-syarat pelesenan yang dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata, empat pasar malam di bawah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan bermula esok, manakala tujuh pasar malam di bawah Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), akan dibuka secara berperingkat bermula 30 Jun.

Katanya, lima pasar malam di bawah Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) pula akan dibuka bermula 23 Jun, manakala lima pasar malam di bawah Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), akan dibuka bermula 1 Julai.

Sulaiman berkata, PBT negeri ini bersama agensi penguatkuasa lain akan membuat pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa, di 100 lokasi tersebut.

Beliau berkata, tarikh kuat kuasa SOP bermula dari 15 Jun hingga 31 Ogos tertakluk kepada arahan kerajaan persekutuan mengenai PKPP selanjutnya, dan berharap kebenaran itu akan memberi manfaat kepada peniaga kecil dan merancakkan semula ekonomi negeri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )