
PMI Malaysia susut pada Januari, Omicron cetuskan halangan
KUALA LUMPUR,. Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia oleh IHS Markit penunjuk komposit satu angka bagi prestasi pembuatan, susut kepada 50.5 pada Januari daripada 52.8 yang dicatatkan pada Disember 2021.
Ketua Pakar Ekonomi Perniagaan IHS Markit Chris Williamson berkata kalangan pengilang Malaysia melaporkan kemerosotan baharu pada bulan Januari apabila varian Omicron mencetuskan halangan ke atas pengeluar di seluruh dunia, sekali gus menjejaskan permintaan dan memburukkan lagi kelewatan rantaian bekalan sedia ada yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Bagaimanapun, kemerosotan itu kelihatan hanya sederhana berbanding gelombang pandemik sebelum ini dan berkemungkinan ia tidak lama, kata beliau.
“Di Malaysia, kalangan pengilang sebenarnya semakin optimis bahawa prospek jangka panjang semakin cerah, dengan jangkaan perniagaan untuk tahun ke hadapan akan meningkat kepada paras paling tinggi sejak April dan hampir mencecah paras tertinggi sejak pandemik itu bermula,” kata Williamson dalam satu kenyataan hari ini.
IHS Markit berkata perniagaan turut memberi isyarat bahawa sektor pembuatan Malaysia menyaksikan keadaan permintaan berkurangan pada permulaan 2022 kerana tekanan harga dan bekalan menghalang pengeluaran dan pesanan baharu.
Ia menambah penurunan pengeluaran baharu dan buku pesanan dilaporkan buat kali pertama sejak September selepas firma-firna memberikan ulasan bahawa kekurangan bahan mentah yang berterusan dan kenaikan harga telah menjejaskan kapasiti pengeluaran dan keyakinan pelanggan.
Namun begitu, kalangan firma kekal optimistik bahawa kemerosotan itu hanya bersifat sementara kerana tahap pekerjaan semakin stabil.
Ini berikutan penurunan sedikit yang dicatatkan pada bulan Disember sementara perniagaan semakin yakin pengeluaran akan meningkat dalam tempoh 12 bulan akan datang, dengan sentimen mencapai paras tertinggi sejak April tahun lepas, kata IHS Markit.
Ia berkata aliran pesanan baharu dan jumlah pengeluaran terus dikurangkan pada Januari dan walaupun kadar penurunan bagi kedua-duanya adalah sederhana, ia menandakan penurunan pertama yang dilihat dalam tempoh empat bulan.
Sementara itu, ia berkata permintaan asing untuk barangan perkilangan Malaysia juga menjadi sederhana, tetapi pada kadar yang lebih perlahan daripada jumlah tempahan baharu kerana beberapa ahli panel melaporkan terdapatnya permintaan tertentu di AS. Pengurangan dalam pesanan eksport baharu juga sederhana, walaupun ia adalah yang kelapan dalam tempoh sembilan bulan.
Walaupun sekatan antarabangsa yang berterusan, IHS Markit berkata kalangan pengilang semakin yakin pengeluaran akan meningkat pada tahun akan datang dan berharap dengan berakhirnya pandemik itu kelak, ia akan menggalakkan pelonggaran sepenuhnya sekatan dan seterusnya mencetuskan pemulihan yang meluas dalam permintaan pasaran.
Dan hasilnya, tahap keyakinan mencapai tahap tertinggi sejak April 2021, tambahnya.
— BERNAMA