IPOH,. Polis telah membuka kertas siasatan berhubung penyebaran pelbagai dakwaan membabitkan pengurusan serta individu tertentu yang dikaitkan dengan
IPOH,. Polis telah membuka kertas siasatan berhubung penyebaran pelbagai dakwaan membabitkan pengurusan serta individu tertentu yang dikaitkan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat ini kita masih mengenal pasti pemilik akaun TikTok kerana kita masih lagi belum mendapat maklum balas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya pada sidang media majlis perasmian pelupusan barang kes dadah dan ketum di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.
Beliau berkata setakat ini pihaknya masih belum merakam keterangan mana-mana saksi berhubung penyebaran pelbagai dakwaan membabitkan perbadanan itu.
Mohd Alwi berkata sehingga kini, polis tidak menerima sebarang laporan daripada mangsa gangguan (seperti didakwa).
Semalam, PKNPk membuat laporan kepada polis dan MCMC berhubung penyebaran pelbagai dakwaan terhadap perbadanan itu, pengurusan serta individu tertentu dikaitkan dengan organisasi yang disebarkan di media sosial.
PKNPk memaklumkan perbadanan itu mengambil maklum beberapa hantaran menerusi laman Facebook, yang sejak kebelakangan ini secara berterusan menyiarkan pelbagai tuduhan serius terhadap PKNPk dan pengurusannya.
Menurut kenyataan itu, penyebaran dakwaan berkenaan adalah tidak berasaskan fakta yang dapat disahkan berpotensi dan menjejaskan reputasi dan kredibiliti PKNPk serta pihak terlibat, selain menggugat keyakinan pelabur, pihak berkepentingan serta masyarakat umum.
— BERNAMA

