Bursa dibuka tinggi menyusut kembali selepas aktiviti pengambilan untung

HomeFeaturedBusiness

Bursa dibuka tinggi menyusut kembali selepas aktiviti pengambilan untung

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini sebelum menyusut susulan aktiviti pengambilan untung selepas mencatat kenaikan pada sesi sebelumn

Bursa dibuka rendah pada awal dagangan
Bursa dibuka tinggi pada pagi ini
NIAGA HADAPAN FBM KLCI DIJANGKA TARIK MINAT AKTIVITI BELIAN SAHAM MURAH MINGGU DEPAN

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini sebelum menyusut susulan aktiviti pengambilan untung selepas mencatat kenaikan pada sesi sebelumnya, walaupun Wall Street ditutup kebanyakannya lebih tinggi semalaman.

Pada jam 9.08 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.32 mata kepada 1,737.29 daripada 1,741.61 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 1.18 mata lebih tinggi pada 1,742.79.

Di pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 172 berbanding 158, manakala 340 kaunter tidak berubah, 2,128 tidak diniagakan dan 15 lagi digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 160.62 juta saham bernilai RM99.07 juta.

Rakuten Trade Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini berkata Wall Street ditutup kebanyakannya lebih tinggi ketika pelabur terus memantau data Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS).

Firma penyelidikan itu berkata, jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) tidak akan membuat sebarang pelarasan kadar faedah buat masa ini memberi sedikit kelegaan kepada pasaran.

“Peniaga masih bimbang mengenai harga minyak mentah semasa, yang kekal tinggi pada paras hampir AS$89 setong.

“Kami menjangkakan pengumpulan saham berterusan dan indeks dijangka bergerak antara 1,735 hingga 1,750 mata hari ini,” menurutnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing susut dua sen kepada RM10.58 dan RM5.17, manakala CIMB Group tidak berubah pada RM7.92.

Tenaga Nasional susut lapan sen kepada RM14.50, manakala IHH Healthcare turun satu sen kepada RM8.34.

Bagi saham paling aktif, Aemulus Holdings menambah 3.5 sen kepada 45.5 sen, Oppstar meningkat dua sen kepada 70.5 sen dan HHRG menokok setengah sen kepada 16 sen.

GIIB Holdings tidak berubah pada 41 sen, manakala Perak Transit turun setengah sen kepada 24 sen.

Antara kaunter paling untung, Vitrox Corporation meningkat 11 sen kepada RM9.55.

Malaysian Pacific Industries, Wang-Zheng dan UMS Integration masing-masing naik 10 sen kepada RM47.60, 48 sen dan RM8.25, manakala VSTEC menambah lapan sen kepada RM1.83.

Bagi saham paling rugi, Nestle menyusut RM1 kepada RM101.90, Malaysia Smelting Corporation turun 17 sen kepada RM2.05 dan Press Metal Aluminium susut 12 sen kepada RM7.87.

United Plantations berkurangan 10 sen kepada RM33.50, manakala IOI Corporation turun tujuh sen kepada RM4.48.

Di papan indeks, Indeks FBM ACE meningkat 18.81 mata kepada 5,222.24, manakala Indeks FBM Emas susut 25.03 mata kepada 12,893.67.

Indeks FBM Top 100 turun 26.80 mata kepada 12,702.03, Indeks FBM Emas Shariah susut 28.77 mata kepada 12,742.11 dan Indeks FBM Mid 70 merosot 18.31 mata kepada 18,417.50.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 1.95 mata kepada 787.69.

Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 24.93 mata kepada 20,375.10, Indeks Perladangan merosot 28.04 mata kepada 9,440.30, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.11 mata kepada 189.24.

–BERNAMA