
Polis Johor rampas rokok seludup bernilai RM1.83 juta
JOHOR BAHRU,. Polis Johor menggagalkan cubaan menyeludup 12,200 karton rokok tidak bercukai bernilai RM1.83 juta apabila menahan sebuah lori di Taman Fasa Indah, Jalan Kota Tinggi-Sungai Rengit, di sini, awal pagi tadi.
Dalam pemeriksaan pada jam 3.20 pagi itu, polis turut menahan dua suspek lelaki tempatan berusia 31 dan 47 tahun selepas pasukan Task Force Op Kontraban Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor menahan lori berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata hasil pemeriksaan di dalam lori tersebut mendapati terdapat 244 kotak yang mengandungi 12,200 karton rokok seludup tidak dibayar cukai berjenama ‘Concept Blend’.
“Selain itu, salah seorang suspek turut ditahan di lokasi kejadian kerana menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas, ” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
— BERNAMA