Jangan Politikkan Isu Kebajikan Penjawat Awam, Cuepacs – Adnan

Jangan Politikkan Isu Kebajikan Penjawat Awam, Cuepacs – Adnan

KUALA LUMPUR, Datuk Dr Adnan Mat, menggesa semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu kebajikan penjawat awam, termasuk kenaikan gaji yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar. Ibrahim pada Rabu (1 Mei)

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata Cuepacs kecewa apabila isu kenaikan gaji penjawat awam dipolitikkan sehingga menimbulkan idea untuk menggagalkan hasrat kerajaan dengan menafikan sokongan di Parlimen.

“Penjawat awam sudah lama menunggu semakan skim gaji bagi menangani kenaikan kos sara hidup. Jangan biarkan emosi politik menguasai keputusan yang mementingkan kebajikan penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada Rabu, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus mulai Disember tahun ini membabitkan peruntukan lebih RM10 bilion. Ia akan dibentangkan pada Bajet 2025 pada bulan Oktober.

Selain itu, Adnan turut menggesa ahli politik supaya lebih matang, bijak dan bertanggungjawab dalam mengetengahkan isu.

“Janganlah kita menimbulkan polemik dan kemarahan terhadap usaha baik yang dijalankan oleh kerajaan,” katanya.

Selain itu, Adnan berkata berita gembira kepada penjawat awam yang diumumkan pada sambutan Hari Pekerja di Putrajaya tidak sepatutnya dikaitkan dengan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang sedang berlangsung.

“Sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei telah wujud sekian lama dan disambut setiap tahun. Sambutan itu membolehkan kerajaan mengumumkan sebarang usaha untuk meningkatkan kebajikan pekerja termasuk penjawat awam dan pekerja swasta,” katanya.

PRK KKB yang menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan berikutan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac selepas bertarung dengan kanser.

Pengundian awal pada 7 Mei dan pengundian pada 11 Mei.

–Agensi

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)