Polis tahan lelaki disyaki papar ketidakpuasan hati terhadap Agong

Polis tahan lelaki disyaki papar ketidakpuasan hati terhadap Agong

SHAH ALAM ,. Polis Selangor menahan seorang lelaki tempatan semalam dipercayai memuat naik rakaman video di akaun Instagramnya yang memaparkan ketidakpuasan hati terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan proses pemilihan Perdana Menteri ke-10.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata suspek ditahan, selepas pihaknya bertindak atas satu laporan polis dibuat seorang individu warga tempatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada 10.52 malam Isnin lepas berkaitan rakaman video berdurasi 15 saat, yang dipercayai dimuat naik oleh suspek.

“Hasil penelitian mendapati, video tersebut menyatakan ketidakpuasan hati pemilik akaun Instagram terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam proses pemilihan Perdana Menteri.

“Video itu turut melabelkan salah satu kaum di negara ini sebagai korupsi serta menghasut orang ramai untuk membuat demonstrasi bagi membantah kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam pemilihan calon Perdana Menteri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Arjunaidi berkata berdasarkan hasil risikan dan maklumat yang diterima, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah menyerbu sebuah rumah di sekitar Kajang pada 10.30 malam, semalam.

“Menerusi serbuan tersebut, pihak polis telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang dipercayai merupakan pemilik akaun Instagram dan kita telah mendapat perintah tahanan reman selama tiga hari mulai hari ini hingga 25 Nov terhadap suspek daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Arjunaidi turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan menghayati serta menghormati prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara demi mengekalkan keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Kita turut menegaskan bahawa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati cuba mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan negara. Mereka yang didapati berbuat demikian akan diambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)