Polis tembak mati dua penjenayah, selamatkan ahli perniagaan yang diculik

Polis tembak mati dua penjenayah, selamatkan ahli perniagaan yang diculik

JOHOR BAHRU,. Polis berjaya menyelamatkan seorang ahli perniagaan lelaki yang diculik sejak seminggu lepas, dan menembak mati dua penjenayah yang disyaki terlibat, di sebuah ladang kelapa sawit di Mersing, awal hari ini.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Shafie Ismail berkata ahli perniagaan kilang plastik berumur 41 tahun itu turut cedera akibat terkena tembakan di belakang kiri badan manakala seorang pegawai polis berpangkat Superintendant pula cedera ditembak di kaki kiri dan peha kanan ketika berbalas tembakan dengan suspek.

“Ahli perniagaan rakyat tempatan itu dipercayai diculik empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan dua pistol di Taman Gaya, Ulu Tiram dekat sini, kira-kira pukul 8.45 pagi, 17 Dis lepas, selepas keluar dari rumahnya untuk makan di sebuah kedai.

“Ahli keluarganya kemudian membuat laporan polis dengan memaklumkan penculik meminta wang tebusan SGD10 juta (kira-kira RM30 juta) daripada mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ismail berkata bertindak atas laporan itu, polis menubuhkan satu pasukan siasatan khas dibantu oleh Pasukan Siasatan Khas Bukit Aman terdiri daripada Bahagian D8 dan D14 serta Pasukan Siasatan Teknikal untuk menjalankan siasatan.

Beliau berkata kira-kira pukul 8.30 malam tadi, polis berjaya mengesan lokasi ahli perniagaan itu yang dilihat di dalam sebuah kereta Honda City berwarna hitam di dalam ladang kelapa sawit di Mersing, dan semasa pasukan polis menghampiri kereta berkenaan, mereka dihujani beberapa das tembakan oleh dua penjenayah yang menyebabkan Superintendant terbabit cedera.

Katanya susulan kejadian kedua-dua penjenayah itu melarikan diri ke dalam ladang sawit berkenaan, dan polis kemudiannya terus melancarkan Ops Kesan dan Ops Tutup di sekitar Mersing bagi memburu mereka.

“Kira-kira pukul 2.00 pagi tadi, pasukan polis berjaya mengesan kedua-dua lelaki itu di dalam ladang sawit berkenaan. Menyedari kehadiran pihak berkuasa, kedua-dua penjenayah bertindak melepaskan tembakan ke arah polis yang menyebabkan polis membalas tembakan, yang mengakibatkan dua penjenayah itu maut,” katanya.

Ismail berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua penjenayah yang berumur 39 dan 52 tahun itu masing-masing bersenjatakan pistol ‘semi automatic’ 9mm dan .45mm, dan mereka mempunyai beberapa rekod jenayah berkaitan kes pemilikan senjata api, merompak, mencuri, memiliki senjata serta pelbagai kesalahan di bawah Akta Hiburan.

Katanya polis sedang meneruskan usaha mengesan lima atau enam orang lagi, saki baki anggota kumpulan itu.

“Dalam kejadian ini wang tebusan tidak sempat dibayar oleh keluarga walaupun wang itu diminta setiap hari. Tindakan menyelamat perlu dilancarkan segera kerana polis menerima maklumat bahawa ahli perniagaan itu akan dibunuh selepas wang tebusan dibayar,

“Sepanjang tempoh enam hari diculik, ahli perniagaan itu diikat tangan dengan rantai besi, dan kedua-dua matanya ditutup,” katanya.

Menurut Ismail polis percaya kumpulan penjenayah yang terlibat dalam kes ini merupakan saki baki dari satu kumpulan sama yang pernah ditumpaskan polis, awal tahun ini, dan ketuanya sudah didakwa di mahkamah, di sini.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961, Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, dan ahli perniagaan itu kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah, di sini, manakala pegawai polis berkenaan dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di Iskandar Puteri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )