Polis tumpas sindiket pengedaran dadah antarabangsa, rampas syabu bernilai RM5.2 juta

Polis tumpas sindiket pengedaran dadah antarabangsa, rampas syabu bernilai RM5.2 juta

GEORGE TOWN,. Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa di negeri ini selepas menahan ketuanya dan seorang warga Bangladesh serta merampas syabu seberat 144.7 kilogram (kg) bernilai RM5.2 juta, dalam dua serbuan pada Jumaat dan Sabtu lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata dalam serbuan pertama pada jam 6.30 petang pada Jumaat, pihaknya bertindak mengekori seorang lelaki berusia 54 tahun di Jalan Batu Feringghi, dekat sini, sebelum suspek yang memandu kereta jenis Mercedes Benz memecut laju sebaik menyedari kehadiran polis.

“Lelaki itu memecut menuju ke kawasan pantai sebelum keluar dari kereta dan cuba melarikan diri namun tindakan pantas polis berjaya menahan suspek yang merupakan ketua sindiket pengedaran dadah antarabangsa berkenaan.

“Pemeriksaan di dalam but kereta itu… polis merampas 15 bungkusan syabu seberat 15 kg yang bernilai RM540,000, sepucuk pistol, satu kelopak mengandungi 14 butir peluru dan sebuah kotak berisi 39 butir peluru hidup,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Rentetan penahanan lelaki itu, polis menemukan dan merampas tujuh telefon bimbit dan dua kereta Volkswagen di sekitar kawasan Batu Jalan Batu Feringghi sebelum melakukan serbuan kedua ke rumah teres di Teluk Bahang, pada jam 5 petang, Sabtu lepas.

Sahabudin berkata hasil serbuan di rumah yang dijadikan stor menyimpan dadah dadah itu, polis turut menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 35 tahun yang merupakan penjaga rumah teres berkenaan.

“Polis juga merampas sejumlah 129.7kg syabu bernilai RM4.6 juta yang disimpan di rumah yang dijadikan pusat transit sebelum dadah berkenaan dipasarkan hanya ke Indonesia melalui jalan laut,” katanya menambah sindiket yang mempunyai rangkaian pengedaran dadah antarabangsa itu dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari Thailand.

“Sindiket itu akan membawa dadah ke kawasan perairan iaitu kira-kira 25 hingga 30 batu nautika daripada pantai negeri ini sebelum membuat urusan jual beli dadah di lautan,” katanya menambah kegiatan itu dijalankan sejak setahun lepas.

Sahabudin berkata modus operandi sindiket ialah menggunakan bot fiber seperti yang digunakan nelayan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Polis kini sedang mengesan beberapa lagi ahli sindiket berkenaan dan kami juga telah bekerjasama dengan polis Indonesia bagi mengesan rangkaian sindiket di negara berkenaan,” katanya.

Dalam serbuan di Teluk Bahang itu, polis turut menyita dua kenderaan pacuan empat roda iaitu Ford Ranger dan Toyota Harrier serta sebuah motosikal jenis Yamaha dengan keseluruhan nilai sitaan kenderaan berjumlah RM561,800.

Menurutnya suspek warga tempatan itu mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan kedua-dua suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8 Akta Senjata API 1971.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )