CYBERJAYA,. Perbadanan Kota Buku (Kota Buku) dan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) memeterai kerjasama strategik bagi memperluas akses kepada buku da
CYBERJAYA,. Perbadanan Kota Buku (Kota Buku) dan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) memeterai kerjasama strategik bagi memperluas akses kepada buku dan bahan pembelajaran di seluruh negara, khususnya kepada murid daripada komuniti yang kurang mendapat akses.
Kerjasama itu dimeterai di Ibu Pejabat Kota Buku di Cyberjaya pada Khamis, dengan menggabungkan mandat literasi Kota Buku dan keupayaan rangkaian penghantaran seluruh negara oleh Pos Malaysia.
Menurut Kota Buku, kerjasama berkenaan turut menyokong agenda literasi Malaysia, selain memperjuangkan kelestarian dan peluang pendidikan yang saksama.
Kerjasama itu dibina berasaskan program ‘Dua Juta Buku Latihan Kitar Semula: Memacu Pendidikan Lestari’ yang dilaksanakan bersama oleh kedua-dua organisasi.
Program berkenaan menyasarkan pengedaran lebih dua juta buku latihan kitar semula kepada 4,120 sekolah, yang dijangka memanfaatkan lebih 200,000 murid B40.
Penggunaan bahan kitar semula dalam program itu turut dianggarkan dapat mengelakkan kehilangan kira-kira 2,832 pokok, sekali gus menggabungkan usaha pendidikan dengan pemuliharaan alam sekitar.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar berkata, kerjasama itu merupakan langkah penting dalam usaha mendemokrasikan akses kepada bahan bacaan dan pembelajaran untuk semua rakyat Malaysia, khususnya murid.
“Melalui kerjasama dengan Pos Malaysia, kami dapat menjangkau sekolah dan komuniti yang sebelum ini kurang mendapat akses, memastikan tiada kanak-kanak tercicir hanya kerana faktor geografi atau keadaan sosioekonomi.
“Literasi ialah asas kepada peluang, dan kerjasama ini memperkukuh keupayaan kami untuk menyampaikan peluang tersebut secara berskala, lestari dan dengan impak jangka panjang yang bermakna,” katanya.
Program buku latihan kitar semula itu turut membantu keluarga menjimatkan anggaran RM2.4 juta secara kolektif, sekali gus mengurangkan beban kewangan berkaitan keperluan asas persekolahan.
Dalam pada itu, rangkaian penghantaran fasa akhir Pos Malaysia yang meliputi lebih 11 juta alamat setiap hari dijangka memainkan peranan penting dalam memperluas program literasi Kota Buku ke seluruh negara.
Berdasarkan data prestasi 2025, Pos Malaysia mencatat kadar penghantaran bungkusan hari berikutnya sebanyak 92 peratus, manakala kadar penghantaran mel tepat pada masanya ialah 95 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer berkata, kerjasama itu membolehkan syarikat berkenaan menggunakan rangkaian penghantarannya untuk mendekatkan ilmu dan peluang pendidikan kepada pelajar di seluruh Malaysia, termasuk komuniti yang kurang mendapat sumber.
“Kami berbangga dapat menyokong inisiatif yang memperluas akses kepada pendidikan, menggalakkan amalan kelestarian dan mewujudkan impak sosial yang bermakna demi masa depan generasi muda negara,” katanya.
Kekuatan operasi Pos Malaysia turut membolehkan program literasi Kota Buku menjangkau sekolah terpencil, termasuk di kawasan luar bandar, penempatan Orang Asli serta komuniti yang mempunyai akses terhad kepada sumber pendidikan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kerjasama strategik itu membuktikan bagaimana jalinan antara kerajaan dan pihak industri dapat memperluas akses kepada buku serta memastikan faktor geografi tidak menjadi penghalang kepada pelajar.
Beliau berkata, usaha itu khususnya penting bagi pelajar di kawasan luar bandar, pedalaman dan kawasan yang kurang mendapat akses.
“Kerjasama ini selaras dengan komitmen berterusan kerajaan dalam memupuk budaya membaca yang kukuh serta memperkasa ekosistem perbukuan negara.
“Sebagai mencerminkan komitmen berterusan ini, sebanyak RM220 juta telah diperuntukkan bagi tahun 2026, dengan inisiatif semasa telah memanfaatkan kira-kira 1.2 juta pelajar,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar dan guru, malah turut menyokong penulis, penerbit, penjual buku serta keseluruhan industri perbukuan negara.
Kota Buku berkata, usahanya melangkaui pengedaran buku, merangkumi kempen membaca, inisiatif literasi digital dan program berasaskan komuniti yang menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.
Kerjasama dengan Pos Malaysia dijangka memperkukuh keupayaan Kota Buku untuk menyampaikan inisiatif berkenaan dengan lebih meluas dan konsisten.
Kedua-dua organisasi berkata, kerjasama itu berteraskan komitmen bersama terhadap kesaksamaan pendidikan, kelestarian, pemerkasaan komuniti dan pembinaan negara, sekali gus menunjukkan bagaimana kerjasama awam-swasta dapat menggabungkan aspek logistik, literasi dan kelestarian bagi menghasilkan impak sosial yang boleh diukur.

