Presiden KLHA mohon pinda tarikh pendengaran rayuan hukuman

Presiden KLHA mohon pinda tarikh pendengaran rayuan hukuman

MELAKA, 17 Dis — Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin memohon Jawatankuasa Rayuan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) meminda tarikh sesi pendengaran rayuan berhubung hukuman penggantungan selama 18 bulan terhadapnya, kepada Januari tahun hadapan.

Megat D Shahriman yang juga pemilik kelab Hockademy berkata beliau telah mendapat tarikh sesi pendengaran rayuan yang ditetapkan jawatankuasa itu pada 29 Dis ini, namun beliau mempunyai komitmen dan tanggungjawab lain yang memerlukan kehadirannya pada tarikh berkenaan.

“Saya mohon tarikh itu dapat dipinda kepada Januari depan kerana tarikh diberi pada 29 Dis ini tidak sesuai dengan jadual saya,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Barangan Keperluan Asas Daripada Jakel kepada warga Orang Kurang Upaya (OKU) di Kompleks Sukan Komuniti Krubong di sini, hari ini.

Pada 19 Nov lepas, media melaporkan Megat D Shahriman telah mengemukakan rayuan berhubung hukuman penggantungannya menerusi surat rayuan setebal 10 muka surat yang mengemukakan beberapa hujah balas bagi mempertahankan tindakannya.

KHM sebelum itu membuat keputusan mengenakan hukuman penggantungan 18 bulan ke atas pemilik kelab Hockademy itu daripada terlibat dalam sebarang aktiviti hoki berkuat kuasa serta-merta selepas Jawatankuasa Disiplin KHM mendapati beliau melanggar Klausa 6 Kod Tatatertib Liga Hoki Malaysia (MHL).

Pada Jun lepas, beliau meluahkan kekecewaannya selepas Hockademy yang berada di bawah naungan KLHA tidak menerima hadiah kemenangan sebanyak RM50,000 selaku juara Liga Hoki Malaysia (LHM) Wanita 2020 serta tambahan RM15,000 apabila turut muncul naib juara Piala Vivian May Soars.

Dalam perkembangan lain, Megat D Shahriman yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mencadangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menganjurkan pertandingan atau acara sukan melibatkan atlet paralimpik secara digital atau dalam talian seperti Kejohanan Terjun Antarabangsa Dalam Talian yang dianjurkan baru-baru ini.

Beliau berkata inisiatif itu penting untuk memastikan industri sukan paralimpik negara dapat diteruskan khususnya dalam berdepan dengan situasi pandemik COVID-19 yang berpanjangan.

Pada majlis berkenaan, Megat D Shahriman menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada 40 OKU termasuk atlet paralimpik di negeri ini dalam usaha mengurangkan beban mereka ekoran penularan COVID-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )