
Prn: Apa Impak Debat Rafizi-Syahir Kepada Keputusan Pengundi?
Oleh Muhammad Faiz Baharin
KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) — Debat antara dua figura politik melibatkan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dan Penolong Setiausaha Agung PAS Mohd Syahir Sulaiman esok, pastinya menghangatkan lagi bahang kempen menjelang kemuncak Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, Sabtu ini.
Bagaimanapun, melihat kepada fakta bahawa kedua-duanya bukanlah calon bagi mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), timbul persoalan adakah perdebatan yang mendukung tajuk “Model Baharu Ekonomi Malaysia” itu mampu memberi impak kepada pilihan pengundi, terutama golongan atas pagar?
Beberapa penganalisis politik tempatan berpandangan bahawa sememangnya debat seperti itu yang sudah menjadi amalan biasa di negara-negara maju setiap kali menjelang musim pilihan raya, dan ia perlu dibudayakan di negara ini sebagai platform menggalakkan amalan politik matang di Malaysia.
Namun kebanyakan mereka berpandangan debat Rafizi-Syahir itu tidak akan membawa impak besar kepada keputusan pengundi di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan pada PRN ini selain kerana faktor figura itu sendiri, juga disebabkan debat belum menjadi tempat rujukan utama rakyat untuk mengundang sokongan mereka.
Menurut penganalisis politik Prof Dr Azmi Hassan, berbeza dengan di Amerika Syarikat, debat sudah menjadi budaya dalam kalangan rakyat negara itu, dan ia dijadikan sebagai antara rujukan utama pengundi untuk mengetahui fakta, prinsip dan dasar sesebuah parti mahupun calon, sebelum membuat keputusan siapa yang jadi pilihan.
Namun Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) itu berkata debat Rafizi-Syahir juga masih janggal di negara ini, dan mungkin dikekang dengan beberapa format dan lebih formal, justeru akan membawa kesan minimum kepada pilihan pengundi terutamanya golongan pengundi atas pagar.
“Malah, jika ditinjau impak debat antara Najib (Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) dan Anwar (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) beberapa tahun lepas pun, ia tidak ada kesan banyak walaupun kedua-duanya ikon besar parti masing-masing ketika itu.
“Apatah lagi debat kali ini, kedua-duanya cuma ahli parlimen, bukan calon (PRN) dan Rafizi juga (dikira) bukan hadir mewakili PH-BN… Seharusnya dalam hal ini (debat dalam musim PRN), ia haruslah melibatkan debat antara calon-calon Menteri Besar gabungan yang bertanding, baru ia jadi platform kempen yang berkesan,” katanya kepada Bernama.
Mengenai tajuk debat itu dan mengambil latar belakang kedua-dua figura berkenaan, Azmi yakin perdebatan itu akan berkisar kapada perihal inflasi, kos sara hidup tinggi dan harga barang.
“Rafizi yang kini di dalam kerajaan mungkin akan berhadapan kritikan daripada Syahir, termasuk janji-janji sebelum menjadi menteri, namun Syahir juga sukar kerana tiada contoh (kejayaan) yang boleh beliau ketengahkan di negeri mereka membentuk kerajaan; di Kelantan, Kedah dan Terengganu,” katanya.
Sementara itu Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah Dr Jazimin Zakaria berkata penganjuran debat Rafizi-Syahir itu boleh dianggap sebagai satu perjalanan dalam meningkatkan kematangan dan celik politik masyarakat di negara ini.
“Ini satu langkah baik, juga bonus kepada pembangkang untuk utarakan hujah mereka, debat terbuka secara matang, dan menjadi platform rakyat mendapat penjelasan lengkap mengenai isu tertentu, sekali gus kita elak politik kepartian dan sifat taksub kepada sesuatu parti dan individu.
“Ini yang kita mahu, jadi seperti negara maju, rakyat celik politik, faham apa mereka mahu, apa hak mereka dan apa kepentingan mereka kepada negara,” katanya.
Jazimin berkata dengan mencapai tahap kematangan politik tertentu dan celik ilmu ia berupaya memberi lebih kesedaran kepada semua pihak untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka kepada negara sebagai pengundi.
PRN enam negeri pada Sabtu ini melibatkan 36 kerusi DUN di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40) Selangor (56) serta 36 DUN di Negeri Sembilan, turut diadakan serentak ialah Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.
— BERNAMA