ALOR GAJAH,. Kehadiran barisan pimpinan utama PKR berstatus menteri mengiringi calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ginie Lim Siew Lin di Pusat Penamaan
ALOR GAJAH,. Kehadiran barisan pimpinan utama PKR berstatus menteri mengiringi calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ginie Lim Siew Lin di Pusat Penamaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya hari ini menarik perhatian pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Lim tiba di Kompleks Japerun Machap Jaya di Bukit Bulat kira-kira 8.20 pagi bersama penyokongnya, diiringi Naib Presiden PKR yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang juga Ketua Setiausaha PH dan Menteri Dalam Negeri.
Turut hadir Naib Presiden PKR Datuk Seri R. Ramanan merangkap Menteri Sumber Manusia, Ketua Wanita PKR Pusat Datuk Seri Fadhlina Sidek merangkap Menteri Pendidikan serta Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Dr Maszlee Malik.
Sementara itu, ketibaan penyandang kerusi DUN Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem daripada Barisan Nasional (BN) pula diiringi Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon.
Beliau tiba seawal 7.45 pagi di sebuah gerai berdekatan untuk bersarapan bersama beberapa penyokong termasuk daripada pemimpin Perikatan Nasional (PN).
Calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), B. Prasanth Kumar pula, tiba di pekarangan pusat penamaan calon kira-kira 8 pagi bersama penyokongnya.
Lim pernah memenangi kerusi Machap Jaya pada PRN 2018 dengan majoriti 1,336 undi selepas memperoleh 5,550 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Koh Nai Kwong (BN-MCA) dan Wan Zahidi Wan Ismail (PAS).
Pada PRN 2021, Ngwe pula memenangi kerusi berkenaan apabila memperoleh 3,732 undi menewaskan calon PH Law Bing Haw dengan majoriti 938 undi dalam pertandingan lima penjuru, manakala Lim tidak bertanding.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.
Bagi mendapatkan berita terikini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/
— BERNAMA

