Produk pelancongan Melaka akan dijual di LAZADA, Shopee

MELAKA,. Pelbagai produk pelancongan negeri Melaka akan dijual di platform jualan dalam talian LAZADA dan Shopee, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka diberitahu semalam.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhamad Jailani Khamis berkata inisiatif itu dijangka dapat meningkatkan jualan pengusaha selain memperluas pasaran jualan.“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Melaka dan Bahagian Promosi Pelancongan Melaka telah membawa dua operator jualan dalam talian iaitu LAZADA dan Shopee untuk bertemu dan memberi taklimat berkaitan usaha berkenaan sekitar 10 hari lepas.

“Pertemuan itu melibatkan kira-kira 70 pengusaha dan penggiat sektor pelancongan dan mereka juga diberi penerangan bagaimana untuk mendaftarkan produk pelancongan mereka di bawah platform itu,” katanya pada sidang DUN Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Amiruddin Yusof (BN-Ayer Limau) berhubung usaha yang dilakukan untuk menarik pelancong tempatan dan luar negara.

Muhamad Jailani bagaimanapun tidak memperincikan jenis produk pelancongan atau perkhidmatan yang akan ditawarkan menerusi kedua-dua platform e-dagang tersebut.

Mengulas lanjut, Muhamad Jailani (Bebas-Rembia) berkata usaha berkenaan itu juga selaras dengan perkembangan terkini perniagaan masa depan iaitu perniagaan dalam talian yang kini mendapat sambutan tidak kira peringkat usia pembeli.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Adly Zahari (PH-Bukit Katil) berhubung aspek kawalan keuntungan ekoran harga produk yang dijual dijangka lebih mahal, beliau berkata pihaknya sedia maklum tentang perkara itu dan ia merupakan antara medium terkini dalam perkembangan dunia perniagaan semasa.

“Kita tidak boleh kekang kemajuan teknologi dan kita mengambil serius agar keuntungan itu tidak dirompak daripada rakyat tetapi proses pendaftaran produk ke dalam platform ini bergantung pada persetujuan operator dan pengusaha produk pelancongan,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )