Program Penjana KPT-CAP jamin pekerjaan untuk graduan

Program Penjana KPT-CAP jamin pekerjaan untuk graduan

BANGI,. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kementerian Pengajian Tinggi- ”Career Advancement Programme” atau KPT-CAP, yang memastikan graduan program peningkatan kemahiran itu memperoleh pekerjaan setelah tamat kursus.

Beliau berkata kursus di bawah program KPT-CAP itu direka bentuk mengikut kehendak dan keperluan yang ditetapkan oleh syarikat yang bakal mengambil graduan berkenaan sebagai pekerja mereka.

Mengambil contoh kursus ‘Smart Trucker’, katanya kandungan pengajaran dalam kursus itu direka bentuk berdasarkan kemahiran yang diperlukan oleh syarikat logistik yang mengeluarkan ‘Letter of Commitment’ (LOC) kepada KPT.

“Habis sahaja tempoh kursus, graduan tadi akan ditawarkan untuk bekerja dengan syarikat logistik tersebut,” katanya ketika melancarkan program itu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Muhyiddin yang prihatin dengan nasib dan hala tuju graduan yang bakal menamatkan pengajian pada tahun ini berkata graduan sudah boleh memohon KPT-CAP melalui portal “Graduates Reference Hub for Employment and Training” atau GREaT yang disediakan KPT.

“Saya ingin menyeru kepada saudara-saudari graduan tahun 2020 dan 2019 yang belum bernasib baik mendapat pekerjaan, bolehlah memanfaatkan peluang untuk menambah kemahiran dan nilai kompetensi seterusnya membantu meningkatkan kebolehpasaran diri masing-masing,” katanya.

Dalam ucapannya, Muhyiddin memberikan contoh graduan universiti tempatan yang mencipta nama sebagai usahawan dan layak dijadikan ikon bagi meniupkan semangat graduan muda untuk mengikuti jejak langkah mereka.

Beliau berkongsi kisah graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Arif Tukiman, 28, yang kini merupakan ketua pegawai eksekutif dan pemilik syarikat RunCloud yang menawarkan khidmat “cloud server” dan “web deployment”.

Syarikatnya yang bernilai RM20 juta kini menguruskan lebih 230,000 aplikasi web dari lebih 100 negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan India yang menjadi pasaran utama syarikat.

RunCloud telah memenangi pelbagai anugerah antaranya Anugerah Merit di International Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) di Guangzhou China; Judges’ Choice TOP100 Asia Pacific Echelon; Winner Global Techsummit Malaysia dan Startup of the Year di Asean Rice Bowl Award dan kejayaan tersebut melayakkan Arif untuk disenaraikan dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2020 di bawah kategori Perniagaan Teknologi, katanya.

Muhyiddin turut berkongsi kejayaan graduan Universiti Multimedia Muhammad Usamah Zaid Yasin yang merupakan individu penting di sebalik siri animasi Upin dan Ipin dan Ejen Ali The Movie yang berjaya meraih RM30 juta dalam enam minggu tayangan.

Turut disentuh Muhyiddin ialah graduan Universiti Multimedia yang layak dijadikan ikon iaitu Mohd Nizam Abdul Razak yang merupakan pencipta dan pengarah siri animasi BoboiBoy dan francaisnya, serta pengasas Animonsta Studios.

Muhyiddin berkata bidang keusahawanan bukan sahaja menawarkan penjanaan pendapatan kepada pengusahanya tetapi sebagai “job creator” iaitu berupaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain melalui perniagaan yang dijalankan.

“Keusahawanan perlu dilihat sebagai salah satu cabang kerjaya berpotensi besar yang boleh diteroka oleh pelajar dan graduan,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau difahamkan KPT sedang membangunkan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2021-2025 bagi memastikan kesinambungan pemerkasaan agenda keusahawanan di IPT selepas Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2016-2020 yang akan tamat pada tahun ini.

“Saya berharap pelan tindakan yang akan dihasilkan ini berupaya memartabatkan agenda keusahawanan di IPT secara lebih menyeluruh melalui pengukuhan ekosistem keusahawanan yang lengkap,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)