KUALA LUMPUR,. Program PERANTIS merupakan inisiatif strategik kerajaan dalam memperkasa kepimpinan wanita melalui pendekatan bimbingan, perkongsian pe
KUALA LUMPUR,. Program PERANTIS merupakan inisiatif strategik kerajaan dalam memperkasa kepimpinan wanita melalui pendekatan bimbingan, perkongsian pengalaman serta pembangunan kapasiti secara menyeluruh.
“Kita mahu melihat lebih ramai wanita bukan sahaja cemerlang dalam bidang masing-masing, tetapi juga berani melangkah ke peringkat kepimpinan dan membuat keputusan. Program PERANTIS menjadi platform penting untuk membina keyakinan, keupayaan serta rangkaian sokongan dalam kalangan wanita,” kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Nancy berkata demikian pada Program Inspirasi Wanita: Menjejak Potensi, Menghargai Dedikasi bagi meraikan tokoh-tokoh wanita cemerlang yang telah menunjukkan komitmen, dedikasi serta kepimpinan yang unggul sepanjang pelaksanaan Program PERANTIS pada 2025, di sini kelmarin.
Program PERANTIS mula diperkenalkan pada tahun 2024, selaras dengan pengumuman oleh Perdana Menteri sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac 2024.
Pada tahun pertama pelaksanaannya, program ini mencatat kejayaan memberangsangkan apabila seramai 1,247 peserta menerima bimbingan daripada 25 tokoh wanita dalam 10 sektor utama, termasuk kepimpinan, politik, ekonomi, pembangunan sosial, teknologi, perundangan, keselamatan, kesejahteraan, pendidikan dan kesihatan.
Pada tahun 2025, program ini diperluas dengan penglibatan 100 tokoh wanita dan 4,129 peserta, disokong oleh peruntukan sebanyak RM5 juta.
Bagi tahun 2026, sebanyak RM4 juta diperuntukkan dengan sasaran penglibatan 80 tokoh wanita dan 4,000 peserta, sekali gus memperkukuh usaha melahirkan pemimpin wanita berkualiti tinggi dalam pelbagai sektor.
Inisiatif ini selaras dengan Dasar Wanita Negara serta Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030 yang menekankan pembangunan barisan pelapis pemimpin wanita dan peningkatan kemahiran kepimpinan.
Program PERANTIS juga menyokong aspirasi nasional di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta komitmen serantau melalui kerjasama ASEAN dalam memperkukuh penyertaan wanita secara inklusif dalam kepimpinan, ekonomi dan pembangunan sosial.
Tema Menjejak Potensi, Menghargai Dedikasi mencerminkan semangat utama Program PERANTIS, di mana setiap mentor dan peserta mempunyai potensi tersendiri. Melalui pengalaman pembelajaran yang tersusun, bimbingan serta pendedahan kepada pelbagai perspektif kepimpinan, potensi ini dapat diperkasakan.
Komitmen yang ditunjukkan sepanjang program ini membuktikan bahawa wanita berupaya memikul tanggungjawab kepimpinan dengan cemerlang serta mampu menjadi sumber inspirasi kepada lebih ramai wanita.

