
RAIF keluar Buku Kecil Peringatan Pemenang Anugerah
KUALA LUMPUR,. Anugerah Diraja Kewangan Islam (RAIF) telah mengeluarkan Buku Kecil Peringatan Pemenang Anugerah RAIF sempena dengan sambutan ulang tahunnya yang ke-10.
Pengeluaran buku peringatan ini bertujuan meraikan pencapaian hebat pemenang anugerah seperti Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang telah berkhidmat sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) mulai 2000 hingga 2016.
BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata buku kecil itu mempamerkan karya dan pencapaian pemenang serta mengabadikan bagaimana setiap penerima yang dipilih, mengharungi cabaran mereka sehingga akhirnya, membawa manfaat yang signifikan dan berterusan kepada industri kewangan Islam global.
Buku kecil itu akan dikeluarkan melalui lima siri penerbitan sepanjang 2021, dengan yang pertama dilancarkan hari ini yang menampilkan tokoh RAIF 2018 iaitu Zeti.
“Buku kecil ini menampilkan profil, pencapaian dan sumbangan Zeti kepada industri kewangan Islam termasuk kepada kewangan dan ekonomi global secara keseluruhan,” katanya.
Selain berkhidmat sebagai Gabenor BNM, Zeti juga terkenal dengan peranannya dalam menguruskan Krisis Kewangan Asia 1997-1998 dan pemulihan ekonominya yang kukuh yang menyusul di Malaysia.
“Di Asia, Zeti aktif dalam memantapkan kerjasama serantau dan agenda integrasi kewangan.
“Sementara dalam pembangunan global kewangan Islam, beliau aktif dalam agenda keterangkuman kewangan global, sistem kewangan antarabangsa serta pengurusan kewangan dan ekonomi,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Zeti memegang pelbagai jawatan dalam badan pendidikan di Malaysia dan di peringkat global. Beliau juga menerbitkan laporan projek serta kertas kerja dalam bidang pembaharuan kewangan, dasar monetari, aliran modal, kemasukan kewangan, tanggungjawab kewangan Islam dan banyak lagi.
RAIF diterajui oleh inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) dan disokong oleh BNM serta SSM.
— BERNAMA