SEPANG, 15 Feb — Seorang wanita rakyat Malaysia yang terpisah daripada keluarga selama 18 tahun akhirnya selamat dibawa pulang ke tanah air bersama an
SEPANG, 15 Feb — Seorang wanita rakyat Malaysia yang terpisah daripada keluarga selama 18 tahun akhirnya selamat dibawa pulang ke tanah air bersama anak perempuannya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), hasil kerjasama pelbagai agensi kerajaan Malaysia dan Indonesia.
Pn Norida Akmal binti Ayop sebelum ini mengikuti suaminya, seorang warganegara Indonesia, ke Lombok dan menetap di sana sejak hampir dua dekad lalu. Namun perkahwinannya tidak kekal dan beliau terpaksa meneruskan kehidupan dalam keadaan serba kekurangan selepas berpisah dengan suaminya yang berkahwin lain

Menurut maklumat yang dikongsi oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Norida hidup dalam keadaan daif di Lombok dan bekerja sebagai tukang sapu bagi menyara kehidupan bersama anak-anaknya.
Beliau mempunyai dua orang anak — Nur Fateen Akmadiana yang lahir di Malaysia dan merupakan warganegara Malaysia, serta Muhamad Sabani Daniel yang lahir di Indonesia dan berstatus warganegara Indonesia.
Kisah kesusahan Norida mula diketahui apabila ahli keluarganya di Kampung Bukit Sapi, Lenggong tampil memaklumkan keadaan beliau yang dikatakan hidup dalam kemiskinan, manakala anak-anaknya tidak dapat meneruskan persekolahan dengan sempurna.
Susulan itu, satu usaha penyelarasan dimulakan melibatkan Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Jabatan Imigresen Malaysia serta pihak berkuasa Indonesia, khususnya jabatan imigresennya. Satu pasukan pegawai yang diketuai Datuk Dazma Shah Daud turut dihantar ke Lombok bagi menguruskan proses membawa pulang keluarga tersebut.
“Alhamdulillah, kini mereka selamat pulang ke tanah air,” kata Shamsul Anuar dalam kenyataan lewat malam tadi.
Kepulangan Norida dan anaknya dijangka membuka ruang untuk proses penyatuan semula keluarga serta bantuan kebajikan bagi memastikan masa depan mereka lebih terjamin selepas sekian lama terpinggir di perantauan.
-Gerbangpost

