Rakyat Palestin hilang lebih daripada sekadar tempat tinggal

HomeFeaturedBerita Semasa

Rakyat Palestin hilang lebih daripada sekadar tempat tinggal

KUALA LUMPUR,. Di sebalik kemusnahan kediaman dan pemindahan berulang di Palestin, jutaan penduduk terpaksa berdepan ketidaktentuan hidup apabila kehi

Malaysia sedia kongsi pengalaman pembangunan luar bandar dengan Timur-Leste
Pulihkan semula fungsi kehakiman di Bangunan Sultan Abdul Samad – Majlis Peguam
JEREBU BERISIKO JEJAS INDIVIDU SIHAT JIKA TERDEDAH BERPANJANGAN – PAKAR

KUALA LUMPUR,. Di sebalik kemusnahan kediaman dan pemindahan berulang di Palestin, jutaan penduduk terpaksa berdepan ketidaktentuan hidup apabila kehilangan bukan sahaja tempat berlindung, tetapi juga persekitaran dan hubungan sosial yang menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Pengarah Jabatan Perangkaan Perumahan dan Keadaan Perumahan Palestin, Suffiea Ibrahim berkata kemusnahan kediaman yang berulang serta pemindahan penduduk secara besar-besaran di Palestin merupakan isu serius yang sering terlepas daripada perhatian ramai.

Bercakap secara langsung dari Palestin menerusi program “Palestine Beyond the Headlines” terbitan Bernama baru-baru ini, beliau berkata kebanyakan daripada kira-kira 2.1 juta penduduk Semenanjung Gaza masih hilang tempat tinggal, dengan banyak keluarga berdepan ketidaktentuan untuk mendapatkan tempat perlindungan yang sesuai.

“Dari sudut statistik, isu ini berkaitan kepadatan penduduk dan akses kepada tempat perlindungan yang mencukupi.

“Namun, dari sudut kemanusiaan, ia melibatkan pemindahan berulang, ketidaktentuan, keadaan tempat tinggal yang sesak serta keluarga yang terpaksa menyesuaikan diri berkali-kali dengan tempat perlindungan sementara atau tidak sempurna.

“Oleh itu, pemindahan tidak seharusnya dilihat sekadar perpindahan penduduk dari satu lokasi ke lokasi lain, sebaliknya ia membawa gangguan besar terhadap kehidupan seharian,” katanya dalam program bertemakan “Housing in a Time of Destruction and Displacement”.

Beliau berkata krisis perumahan itu bukan sahaja melanda Semenanjung Gaza, malah turut menjejaskan kawasan utara Tebing Barat, khususnya kem pelarian yang mengalami kemusnahan besar setakat Februari 2026, sekali gus menyukarkan penduduk membina semula kehidupan mereka.

“Kesannya bukan sahaja dirasai oleh sesebuah isi rumah, malah turut menjejaskan kehidupan seluruh komuniti, termasuk akses kepada tempat perlindungan, perkhidmatan, sumber pendapatan serta keupayaan penduduk untuk terus tinggal dalam persekitaran sosial yang biasa bagi mereka,” kata beliau.

Memetik data Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Suffiea berkata lebih 4,000 rakyat Palestin dipindahkan di Tebing Barat antara awal 2026 hingga September susulan tindakan merobohkan rumah, pengusiran, serangan pendatang haram serta sekatan berkaitan.

Di sebalik setiap angka itu, terdapat keluarga yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka, rutin harian dan hubungan kemasyarakatan yang selama ini menjadi sebahagian daripada kehidupan.

“Angka-angka ini juga menggambarkan kesan kemanusiaan yang besar.

“Kehilangan tempat tinggal boleh bermakna kehilangan pekerjaan, persekolahan, hubungan dengan saudara-mara, kegiatan pertanian, tanah serta jaringan komuniti.

“Justeru, ketidakjaminan tempat tinggal bukan sekadar menjejaskan ruang fizikal untuk seseorang berlindung, malah turut memberi kesan terhadap kestabilan sosial dan ekonomi,” tegas beliau.

— BERNAMA