RANTAU MEKONG JADIKAN MUSIM HUJAN TARIKAN BAHARU PELANCONGAN

HomeFeaturedBerita Semasa

RANTAU MEKONG JADIKAN MUSIM HUJAN TARIKAN BAHARU PELANCONGAN

PHNOM PENH,. Jika dahulu pelancong mengelak daripada berkunjung ketika musim hujan, kini negara-negara di rantau Mekong menjadikan musim itu sebagai t

SEKATAN MARITIM TERHADAP IRAN: TENTERA AS LENCONG 92 KAPAL
Anwar tidak tergesa-gesa isi kekosongan Kabinet
Rakyat Malaysia ditahan di Thailand disyaki anggota sindiket dadah rentas negara: Bukit Aman

PHNOM PENH,. Jika dahulu pelancong mengelak daripada berkunjung ketika musim hujan, kini negara-negara di rantau Mekong menjadikan musim itu sebagai tarikan utama dengan mengetengahkan pelbagai keindahan alam semula jadi bagi menggamit kedatangan pengunjung.

Kerajaan di rantau itu semakin memberi tumpuan kepada model pelancongan yang lebih mesra alam, menyasarkan pelancong yang prihatin terhadap alam sekitar serta memanfaatkan sumber luar bandar ketika musim luar puncak, sekali gus mencetuskan trend baharu dalam industri pelancongan Mekong.

Dari Kemboja dan Myanmar hingga Vietnam, musim monsun yang dahulunya menyaksikan aktiviti pelancongan agak perlahan kini beransur-ansur berubah menjadi segmen pelancongan yang semakin rancak.

“Inilah masanya Kemboja mempamerkan keindahan yang paling asli dan mempesonakan.

“Alam semula jadi yang subur, kehijauan terbentang luas di seluruh negara, udara bersih serta landskap yang menakjubkan menawarkan pengalaman yang jarang ditemui dan bernilai kepada pengunjung,” kata Menteri Pelancongan Kemboja Huot Hak pada acara “Coastal Green Season Tourism Event 2026” di wilayah Kampot pada awal Oktober.

Musim monsun turut menyerlahkan keindahan alam semula jadi yang selama ini kurang diterokai di rantau Mekong.

Dari Mei hingga Oktober, hujan yang berpanjangan menghidupkan semula landskap luar bandar apabila hutan hujan kembali menghijau, sawah padi yang sebelum ini kering kembali segar, manakala sungai dan kolam yang pernah cetek dipenuhi air sehingga menjadi lokasi berkelah dan aktiviti berakit.

Kawasan pesisir pantai pula kembali meriah dengan pelbagai festival kebudayaan dan perayaan tradisional.

Industri pelancongan kini menyusun semula aktiviti serta memperkenalkan acara khusus yang memenuhi minat pengunjung bagi menarik mereka yang sebelum ini mengelak daripada melancong ketika musim hujan.

Wilayah Quang Ninh di utara Vietnam giat mempromosikan pelancongan sepanjang tahun dengan memanfaatkan hiburan waktu malam, festival serta tarikan kerohanian di kawasan pergunungan dan hutan.

Di selatan pula, Da Nang tidak lagi bergantung semata-mata kepada aktiviti pantai, sebaliknya menawarkan tarikan bandar, pusat peranginan, hiburan dan kebudayaan ketika keadaan cuaca tidak sesuai untuk aktiviti berenang, lapor portal berita Vietnamnet.

Naib Pengerusi Persatuan Pelancongan Hanoi Nguyen Tien Dat berkata konsep baharu itu bukan bertujuan membawa pelancong ke kawasan berisiko, sebaliknya menyusun semula produk pelancongan mengikut keadaan cuaca.

“Hari hujan membuka peluang untuk melawat muzium, meneroka tapak warisan, menikmati pengalaman kulinari, aktiviti kesejahteraan, seni atau perkampungan kraf, manakala jadual lawatan ke pantai boleh digantikan dengan lawatan bandar, penerokaan alam semula jadi dan aktiviti kebudayaan berasaskan komuniti.

“Musim luar puncak juga menawarkan kelebihan dari segi harga perkhidmatan yang lebih rendah, lokasi yang kurang sesak serta peluang menikmati pengalaman pelancongan yang lebih mendalam,” kata beliau.

Menurut laman web Vietnam Tourism, kos keseluruhan perjalanan menurun antara 30 hingga 50 peratus berikutan jumlah kedatangan pelancong yang lebih rendah ketika musim hujan.

Sebagai contoh, kadar penginapan di sebuah hotel butik di Hoi An yang berharga US$90 (US$1=RM4.08) pada Februari turun kepada US$35 pada Oktober, manakala kos pelayaran persiaran di Teluk Halong pula lebih murah sebanyak 40 peratus.

Pihak berkuasa Myanmar turut menggalakkan pelancong berkunjung ketika musim monsun untuk menikmati keindahan alam semula jadinya yang masih terpelihara.

Di Hpa-an, ibu negeri Kayin, bilik penginapan di kebanyakan hotel habis ditempah berikutan kedatangan ramai pelancong tempatan yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi ketika musim hujan, menurut laporan media kerajaan The Global New Light of Myanmar.

Menurut pemerhati industri, corak pilihan pelancongan kini berubah merentas generasi, dengan Generasi Z dan milenial yang lebih prihatin terhadap alam sekitar, mementingkan perbelanjaan berhemat serta gemarkan pengembaraan.

Pelancongan masa kini bukan lagi sekadar menjana pendapatan dan menerima kedatangan pengunjung.

Sebaliknya, pelancongan moden semakin berkait rapat dengan kelestarian, pemeliharaan warisan dan nilai budaya serta usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat dan ekonomi luar bandar, di samping memastikan alam sekitar terus dilindungi.

Industri itu turut menjana pendapatan kepada pengusaha kraf tangan, pemilik rumah tamu, pemandu pelancong, pengusaha sewaan motosikal dan basikal, petani serta penggiat tradisional, sekali gus merancakkan perusahaan komuniti termasuk yang diusahakan wanita.

Pelancongan bukan sahaja menyokong peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi, malah turut menyumbang 7.3 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau global, menurut Majlis Pelancongan dan Pengembaraan Dunia (WTTC).

Peralihan kepada amalan pelancongan lebih mesra alam berpotensi membantu mengurangkan pelepasan berkenaan.

— BERNAMA