Rendang Tok tetap jadi pilihan tatkala pandemik COVID-19

Rendang Tok tetap jadi pilihan tatkala pandemik COVID-19

IPOH,. Meskipun negara dilanda pandemik COVID-19, Rendang Tok Perak tetap mendapat permintaan dan menjadi pilihan sebagai juadah berbuka puasa pada Ramadan dan menjelang Syawal kelak.

Manakan tidak, makanan tradisi orang Melayu Perak yang diwarisi sejak turun-temurun itu, merupakan menu wajib bagi perayaan khususnya pada sambutan Hari Raya atau majlis kenduri-kendara.

Begitupun, beberapa pengusaha Rendang Tok yang ditemui menyifatkan kehadiran pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit sebanyak telah merencatkan permintaan selain harga bahan mentah yang semakin meningkat.

Seorang pengusaha Rendang Tok Huda Catering, Huda Mat Isa, 48 berkata perniagaan Rendang Tok yang diusahakannya bersama-sama suami, Zainal Abidin Bakar, 55, sejak 15 tahun lepas, masih bertahan meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang tempoh pandemik.

“Sebelum PKP pada Mac 2020, perniagaan kami mampu menjana kira-kira RM15,000 sebulan dan sejak pandemik ini berlaku kami hanya memperoleh pendapatan sekitar RM12,000 sebulan,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Pasir Putih di sini.

Huda juga memaklumkan bahawa beliau masih mengekalkan harga jualan seperti serunding, Rendang Tok dan lemang walaupun harga bahan mentah yang semakin meningkat dan negara belum reda daripada dilanda wabak COVID-19.

“Harga bagi Rendang Tok dikira mengikut gram dan harga yang kami pasarkan adalah RM30 untuk 500 gram manakala RM60 untuk satu kilogram,” jelasnya mengenai Rendang Toknya yang sesuai dihidangkan bersama-sama lemang, nasi, pulut kuning, ketupat nasi, ketupat palas, roti atau boleh diratah begitu saja.

Menurutnya, persiapan rapi dilakukan terhadap permintaan Rendang Tok yang dijangka akan meningkat sewaktu Ramadan dan menjelang Aidilfitri kali ini.

”Kebiasaannya, seminggu sebelum Aidilfitri kami menyiapkan tempahan sehingga 30 kawah dalam masa sehari dan sejumlah 1,200 kilogram daging dimasak bagi memenuhi tempahan pelanggan,” katanya.

Sementara itu, seorang usahawan muda Rendang Tok Yeop, Ahmad Zul Husmi Ahmad Rosly, 28, mengakui jualan Rendang Tok yang diusahakannya terjejas sejak pelaksanaan PKP pada Mac tahun lepas.

“Jualan rendang kami mengalami penurunan (kira-kira 70 peratus) dan kami juga menghasilkan rendang mengikut tempahan pelanggan semasa pandemik ini,” katanya yang akan giat mempromosikan jualanya menerusi media sosial.

Ahmad Zul Husmi juga memaklumkan bahawa kali ini beliau terpaksa menaikkan sedikit harga jualan Rendang Tok yang diusahakan beliau, kerana kos bahan mentah yang semakin meningkat.

“Harga Rendang Tok yang kami pasarkan adalah sekitar RM70 sehingga RM75 bagi satu kilogram dan kami menjangkakan ia akan dinaikkan sekitar RM80 bagi menampung kos bahan mentah,” katanya.

Menurutnya, permintaan Rendang Tok masih berterusan seperti biasa oleh kerana keunikkan yang menjadikannya juadah tradisi istimewa dan beliau menyasarkan bahawa tempahan akan meningkat menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )