Ringgit dibuka rendah berbanding Dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) memandangkan unit negara maju kekal stabil meskipun menurun semula berikutan hasil AS yang lemah, dan menjelang pengumuman minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS lewat hari ini, kata ahli ekonomi.

Pada 9 pagi, ringgit menyusut kepada 4.7995/8050 berbanding dolar AS daripada 4.7975/8000 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit akan terus diniagakan dalam sentimen berhati-hati menjelang pengumuman Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia pada Jumaat.

“Semalam, mata wang tempatan mencecah 4.80 dalam masa singkat berbanding dolar AS, justeru, Bank Negara Malaysia (BNM) memberikan maklum balas dengan mengeluarkan kenyataan mengenai keadaan pasaran semasa.

“Di negara jiran, Perdana Menteri Thailand menggesa bank pusat mengurangkan penanda aras kadar faedah bagi menyokong ekonomi, manakala China telah mengejutkan pasaran apabila menurunkan Kadar Utama Pinjaman lima tahun yang melebihi jangkaan, daripada 4.20 peratus kepada 3.95 peratus.

“Oleh itu, sentimen pasaran dijangka berhati-hati dalam tempoh terdekat memandangkan peserta akan menilai hala tuju mata wang pasaran sedang pesat membangun berikutan Rizab Persekutuan (Fed) dijangka menangguhkan langkah pelonggaran monetarinya. Pasaran semasa dilihat cenderung kepada dolar AS memandangkan perbezaan kadar faedah yang luas,” katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan rendah ketika dibuka hari ini berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.1988/2029 daripada 3.1926/1945 semasa ditutup pada Selasa, turun berbanding pound Britain kepada 6.0584/0654 daripada 6.0468/0499 semalam, dan merosot berbanding euro kepada 5.1878/1937 daripada 5.1799/1826 sebelum ini.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia merosot berbanding baht Thailand kepada 13.3109/3324 berbanding 13.3016/3148 semasa ditutup pada Selasa dan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.5703/5746 daripada 3.5672/5693.

Mata wang tempatan turut rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 306.4/306.9 daripada 306.3/306.6 dan tidak banyak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.56/8.58 daripada 8.56/8.57 semalam.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)