
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar pada pagi
KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah berbanding dolar US pada hari ini ketika peserta memilih berada di luar pasaran walaupun dalam persekitaran positif selepas pemeteraian perjanjian perdagangan fasa pertama Washington-Beijing serta tindakan Senat Amerika Syarikat meluluskan perjanjian dagangan baharu dengan negara jiran Amerika Utara, Mexico serta Kanada.
Pada 9.11 pagi, ringgit berada pada paras 4.0620/0650 berbanding dolar US daripada 4.0610/0660, semalam.
Public Investment Bank menerusi nota penyelidikannya berkata perjanjian perdagangan Washington-Beijing itu menunjukkan berlakunya gencatan dari segi pertikaian cukai import yang menyebabkan pasaran global tidak menentu selain menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
Ketua Strategi Pasaran Asia AxiTrader, Stephen Innes berkata ringgit kekal dilihat mampu mencatat pengukuhan bagi separuh pertama 2020.
“Pemeteraian perjanjian perdagangan itu misalnya akan hanya melonjakkan negara eksport dari ASEAN dan mata wang seperti ringgit. Tambahan pula, ringgit telah dinilai lebih rendah berbanding mata wang serantau lain.
“Memandangkan pertumbuhan global semakin meningkat, hasil eksport Asia dijangka mendapat permintaan baik dan ini dapat membantu ringgit ketika selera pelabur terhadap risiko meningkat dan seiring dengan kenaikan harga minyak,” katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan kukuh berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali pound Britain.
Ringgit meningkat kepada 3.6844/6874 daripada 3.6911/6967 berbanding yen Jepun dan naik kepada 3.0167/0192 berbanding dolar Singapura daripada 3.0175/0224, sebelum ini.
Bagaimanapun, ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.3111/3154 daripada 5.3004/3082 namun mengukuh berbanding euro pada 4.5243/5280 daripada 4.5288/5356, semalam.
— BERNAMA