KUALA LUMPUR,. Ringgit menamatkan kenaikan selama tujuh hari dagangan berturut-turut apabila dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susu
KUALA LUMPUR,. Ringgit menamatkan kenaikan selama tujuh hari dagangan berturut-turut apabila dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan sikap berhati-hati peniaga menjelang pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2026 hari ini.
Pada jam 8 pagi, ringgit dibuka rendah kepada 3.9320/9370 berbanding dolar AS daripada 3.9300/9330 ketika ditutup pada Khamis, walaupun mata wang tempatan itu diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata tumpuan pasaran hari ini terarah kepada data KDNK Malaysia bagi suku pertama 2026 dengan kebanyakan ahli ekonomi menganggarkan pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus.
“Oleh itu, ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati,” katanya kepada Bernama sambil menjangkakan data berkenaan mampu menyokong pengukuhan mata wang tempatan.
Mohd Afzanizam berkata, Indeks Dolar AS meningkat 0.36 peratus kepada 98.874 mata selepas data jualan runcit AS bagi April 2026 menunjukkan perbelanjaan pengguna negara itu kekal kukuh.
Pada sesi pembukaan dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4823/4856 daripada 2.4886/4907, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.2646/2712 daripada 5.3094/3135 dan naik berbanding euro kepada 4.5855/5913 daripada 4.6009/6044 ketika ditutup semalam.
Bagaimanapun, prestasi ringgit berbanding mata wang serantau adalah bercampur-campur.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0798/0842 daripada 3.0867/0893 ketika ditutup pada Khamis dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.1171/1392 daripada 12.1506/1652 sebelumnya.
Namun, mata wang tempatan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 224.3/224.7 daripada 224.1/224.4 semalam, selain rendah berbanding peso Filipina kepada 6.38/6.39 daripada 6.37/6.38 sebelum ini.
–BERNAMA

