Ringgit dibuka tinggi berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal urus niaga Rabu dengan para pelabur meneruskan aktiviti secara berhati-hati menjelang pengumuman Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Jumaat yang memberi petunjuk mengenai kadar inflasi negara ini.

Pada 9.03 pagi ini, ringgit berada di paras 4.1540/1560 berbanding dolar AS daripada 4.1690/1700 pada akhir urus niaga pada Isnin.

Pasaran ditutup pada Selasa bersempena cuti umum sambutan Maulidur Rasul.

Seorang penganalisis berkata ringgit berpotensi meningkat sekiranya angka IHP adalah positif.

Ada pihak menjangkakan IHP tersebut akan meningkat pada 2.2 peratus berbanding dua peratus pada Ogos lalu.

IHP mengukur purata perubahan harga yang dibayar oleh pengguna di bandar bagi kumpulan makanan dan perkhidmatan.

Bagi prestasi ringgit untuk tempoh berbaki tahun ini, penganalisis mengunjurkan ia akan mendapat tempias sekiranya pihak Rizab Persekutuan AS melaksanakan pengurangan pembelian bon yang mungkin menyebabkan aliran keluar dana asing.

Pihak Fed dijangka memulakan usaha itu secara berperingkat pada pertengahan November depan sebagaimana dinyatakan dalam minit mesyuarat bank pusat itu pada September.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0871/0888 daripada 3.0875/0884 dan meningkat berbanding yen kepada 3.6241/6259 daripada 3.6449/6461.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.7292/7320 daripada 5.7245/7258 dan rendah berbanding euro kepada 4.8323/8347 daripada 4.8285/8297.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )