Ringgit dibuka tinggi berbanding Dolar AS
KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini berikutan minat yang tercetus semula daripada para pelabur selepas jualan runcit Amerika Syarikat (AS) menunjukkan angka data negatif, kata seorang peniaga.
Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.1880/1920 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1935/1965 pada Rabu.
Jabatan Perdagangan AS semalam mengumumkan data runcit dan perkhidmatan makanannya yang turun sebanyak 0.3 peratus kepada US$525.6 bilion berbanding bulan sebelumnya, yang mana merupakan penurunan kali pertama dalam tempoh tujuh bulan.
Angka ini dicatatkan selepas dolar AS menerima rangsangan daripada kemajuan terkini rundingan perdagangan AS-China.
Bagaimanapun, berbanding kumpulan mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah kecuali yen, yang mana ia meningkat kepada 3.8525/8572 daripada 3.8575/8613.
Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0576/0607 daripada 3.0560/0585, susut berbanding pound Britain kepada 5.3728/3783 daripada 5.3513/3568 dan berkurangan kepada 4.6411/6460 daripada 4.6288/6338 berbanding euro.
— BERNAMA