
RM26.4 bilion diperuntukkan bagi tingkatkan kualiti bekalan elektrik di Sabah sejak 2001
KOTA KINABALU, 22 Ogos — Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sejumlah RM26.4 bilion untuk tempoh 2001 hingga 2018, dalam bentuk geran, pinjaman dan subsidi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan elektrik di Sabah.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata usaha dan inisiatif kerajaan itu telah menunjukkan pencapaian positif apabila kadar gangguan bekalan elektrik di Sabah yang diukur melalui Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) mengalami penurunan yang ketara iaitu daripada 4,109 minit pada 2005 kepada 205 minit pada 2019.
“Walaupun kadar SAIDI telah menunjukkan penurunan yang agak ketara, kerajaan sedar bahawa ia masih tinggi jika dibandingkan dengan kadar SAIDI di Semenanjung Malaysia. Kerajaan Persekutuan sentiasa komited untuk menyediakan bekalan elektrik kepada pengguna di Sabah.
“Bagi tujuan ini, kementerian telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu meningkatkan kualiti bekalan dan perkhidmatan bekalan elektrik di Sabah dengan memastikan penjanaan elektrik yang mencukupi, mengukuhkan sistem penghantaran dan pembahagian serta memastikan kemampanan operasi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) selaku syarikat utiliti di Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya antara usaha untuk meningkatkan kemampuan dan kualiti bekalan elektrik di Sabah termasuklah menyediakan geran berjumlah RM2.3 bilion dan pinjaman berjumlah RM1.14 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) untuk melaksanakan projek-projek penjanaan, penghantaran dan pembahagian elektrik yang dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) dan SESB.
“Pelaksanaan projek ini akan diteruskan sebagai projek sambungan di bawah RMK-12. Bagi memastikan kemampanan operasi SESB pula, kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan subsidi yang besar berjumlah RM3.7 bilion untuk tempoh 2012 hingga 2019, merangkumi subsidi bahan api, subsidi solar dan subsidi sokongan tarif.
“Subsidi ini disediakan oleh kerajaan Persekutuan untuk menampung kos pembekalan elektrik di Sabah yang jauh lebih tinggi daripada kadar tarif yang dikenakan kepada pengguna,” katanya
— BERNAMA